Wednesday, March 3, 2010

Waspada taktik penipuan tukar wang

KUALA TERENGGANU 3 Mac 2010 - Polis mengingatkan penduduk negeri ini supaya berwaspada apabila didatangi oleh dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang menipu orang ramai dengan menggunakan taktik menukar beberapa keping wang RM100.

Dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak tiga laporan penipuan diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri melibatkan taktik sama dengan membabitkan kerugian RM1,200.

Mangsa-mangsa yang menjadi sasaran ialah pekerja di kedai runcit dan pasar raya kecil.

Ketua JSJK negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, hasil maklumat, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan oleh dua suspek warga Indonesia.

Katanya, dalam kejadian pada 24 Februari lalu, mangsa ialah seorang wanita berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah kedai runcit di Seberang Takir.

"Pada pukul 7.30 malam, mangsa didatangi oleh dua suspek yang meminta untuk menukar lapan keping RM100 kepada 18 keping RM50.

"Suspek kemudian meminta sekali lagi ditukarkan wang yang diterimanya kepada 188 keping RM5 pula.

"Mangsa yang memberitahu tidak mempunyai wang itu, diminta memulangkan semula lapan keping wang RM100," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata, namun semasa mendapatkan kembali wang itu, suspek mengambil beberapa keping RM50 tanpa disedari mangsa.

Katanya, dalam kejadian tersebut, mangsa kerugian RM350 apabila tujuh keping duit RM50 didapati tidak cukup ketika dipulangkan.

"Suspek kemudian menghilangkan diri dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna putih," katanya.

No comments:

Post a Comment