Friday, March 12, 2010

UPP kesan taktik baru penyeludupan minyak di Padang Besar

2010/03/13
PADANG BESAR: Seorang penyeludup menyangkakan tindakannya mengubahsuai kenderaannya dengan meletakkan replika peralatan audio dapat mengelirukan pihak berkuasa di sempadan namun ia ternyata meleset.

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mengesan sebuah kenderaan yang berdaftar di Thailand di kilometer 9.9 Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian jam 11.30 pagi semalam dan semasa diperiksa hanya terdapat peralatan audio di dalam but kenderaan itu.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata hasil pemeriksaan rapi pihaknya menemui tangki minyak tambahan di belakang replika peralatan audio itu.

Katanya, sekiranya tidak diperiksa rapi, ia kelihatan seperti aksesori peralatan audio yang sering dipasang peminat audio kereta yang lain. Kereta jenis Honda Civic itu serta 300 liter petrol bernilai RM540 yang terdapat dalam tangki tambahan itu turut dirampas manakala pemandunya, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan. Zakaria berkata, kenderaan itu sepatutnya hanya boleh mengisi 70 liter petrol tetapi disebabkan wujud tangki tambahan ia boleh mengisi bekalan yang berkali ganda untuk diseludup. Siasatan awal mendapati lelaki itu baru menjalankan kegiatan penyeludupan itu dua hari lalu dan berbelanja RM500 untuk pengubahsuaian kenderaannya.

"Kes ini dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment