Tuesday, March 9, 2010

Kedai baju terpakai tempat jual pil khayal (10/3/10)

KUALA TERENGGANU: Di sebalik menjual baju terpakai di Kampung Gong Datok, Jalan Mengabang Telipot, dekat sini, premis perniagaan itu yang sentiasa dikunjungi ramai, sebenarnya adalah tempat pengedaran pil kuda.

Kegiatan mengedar dadah sejak tiga tahun lalu, dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu hasil maklumat orang ramai dengan menyerbu premis itu dan menahan seorang pengedar berusia 27 tahun, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata sepasukan pegawai dan anggota diketuai Inspektor Muhammad Farish Amrik membuat serbuan ke sebuah rumah kedai menjual pakaian berkenaan.

Beliau berkata, polis menahan suspek berusia 27 tahun dalam premis itu yang juga pemilik kedai dan hasil pemeriksaan menjumpai beg bimbit di bawah meja tempat lelaki itu ditahan.

“Hasil pemeriksaan dalam beg itu menjumpai sebanyak 795 pil kuda bernilai RM28,000 dan turut dirampas wang tunai RM10,200,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Roslan berkata, suspek ditahan kerana kesalahan mengedar dadah dan kes disiasat di bawah Sesyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, suspek belum berkahwin berasal dari Kampung Seberang Tepoh, Kuala Terengganu turut terbabit mengedar dadah di kawasan Kampung Gong Datuk, Batu Rakit, Maras, Mengabang Telipot dan Padang Kemunting.

No comments:

Post a Comment