Wednesday, March 31, 2010

Syarikat kumpul sawit tipu peneroka

2010/04/01
MELAKA: Ratusan pekebun dan peneroka sawit sekitar Selandar dan Kemendor di Jasin menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pengumpul bahan komoditi itu yang didapati mengubah suai alat timbangan sejak empat bulan lalu.

Penipuan alat timbang pukal itu dikesan selepas peneroka mendapati pendapatan purata mereka susut antara RM30 hingga RM50 bagi setiap tan berbanding nilai jualan sebelumnya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka, Abd Hafidz A Rahim, berkata taktik kotor syarikat terletak di Mukim Jus, Jalan Selandar itu berakhir apabila operasinya dibongkar oleh sekumpulan pegawai KPDNKK yang menyamar sebagai pekebun sawit yang ingin menjual tiga metrik tan buah sawit dimuat dalam sebuah lori di situ, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat timbang pukal itu sudah diubah suai dengan tujuan menipu pekebun sawit, tanda ‘seal’ yang dikeluarkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) pada alat itu didapati dipotong bagi membolehkan bacaan timbangan berkurangan sebanyak 20 kilogram berbanding sepatutnya,” katanya kepada media di pejabatnya, di sini, semalam.

Katanya, pengubah suai alat timbang pukal membolehkan syarikat itu meraih keuntungan menerusi penipuan puluhan metrik tan buah sawit berikutan 20 lori dicatatkan berurus niaga di situ setiap minggu.

Beliau berkata, sebaik mendapat maklumat, pihaknya melakukan intipan selama empat bulan untuk mencari bukti dan akhirnya menyerbu premis berkenaan dengan kerjasama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka serta MCM, dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas alat timbang pukal itu, kelmarin.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya menyoal siasat seorang penyelia lelaki berusia 42 tahun serta merampas seunit alat timbang, komputer dan pencetak resit yang nilai keseluruhannya RM75,000 serta menyita sementara operasi syarikat berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Syarikat berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana membuat perihal dagangan palsu.

“Meskipun pekebun dan peneroka terpaksa menjual hasil di tempat lain, namun pihak kami mengucapkan syabas kepada pengadu kerana berjaya melumpuhkan taktik penipuan yang mengaut untung secara mudah ke atas susah payah mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment