Wednesday, March 3, 2010

Sentral: Diesel RM400,000 dirampas (3/3/10)

Oleh Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my

MOHD ROSLAN (kanan) melihat pembantu pemeriksa membuat ujian mengesan nanotag dalam diesel subsidi yang dirampas pada serbuan di Puchong.


Minyak subsidi untuk nelayan dijual kepada industri

PUCHONG: Kegiatan sindiket yang menjual minyak subsidi nelayan kepada pihak industri terbongkar selepas 111,950 liter diesel bernilai RM400,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Meranti Jaya, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya turut menahan tiga lelaki, dua dipercayai pemandu lori tangki dan seorang pengurus berumur antara 30 hingga 60 tahun.



Serbuan dibuat selepas pegawai penguat kuasa KPDNKK mengekori dua lori tangki yang dalam perjalanan dari Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) di Putrajaya ke Hutan Melintang, Perak tetapi melencong dengan memasuki premis berkenaan.

Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Mohd Roslan Mahayudin, berkata premis itu dipercayai dijadikan pusat pengumpulan diesel oleh sindiket terbabit.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan memagari kawasan premis dengan pagar zink yang tinggi.

“Ini adalah kali pertama serbuan dilakukan di premis itu, malah pihak kami turut menemui mesin meneutralkan penandaan nanotag yang ada dalam semua diesel subsidi.

“Apabila bahan kimia nanotag dineutralkan, sindiket akan menjual minyak subsidi terbabit pada harga tinggi kepada pihak industri,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya merampas semua peralatan dan barangan di premis terbabit termasuk tiga tangki untuk menyimpan diesel bernilai RM71,000.

“Premis terbabit juga dipercayai tidak mempunyai lesen dan kami sedang menyiasat syarikat terbabit secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana diesel subsidi dijual dengan harga yang murah, banyak pihak cuba untuk menyeleweng diesel subsidi bagi mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

“Buat masa sekarang diesel subsidi dijual pada harga antara RM1.20 hingga RM1.80 kepada pihak yang layak, dan pihak sindiket akan menjual balik minyak subsidi terbabit kepada industri dengan harga RM2.

“Mereka akan mendapat keuntungan lumayan hasil daripada aktiviti penyelewengan itu, malah kami akan menyiasat kemungkinan pembabitan orang dalam dalam kegiatan sindiket ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment