Sunday, March 21, 2010

Tawar pakej mencurigakan

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my



Abd. Hafidz A. Rahim menunjukkan lesen perniagaan palsu dan katalog air minuman kesihatan yang ditawarkan kepada pelanggan di Melaka, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA 21 Mac 2010 – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib sebuah syarikat jualan langsung yang diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Melaka petang semalam kerana disyaki cuba melakukan penipuan.

Kegiatan itu terbongkar gara-gara kesilapan kakitangan syarikat tersebut yang tidak menyedari lelaki yang dihubungi di telefon bimbit untuk menawarkan pakej percutian menginap di mana-mana hotel selama tiga hari dua malam secara percuma adalah Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Abd. Hafidz A. Rahim.

Curiga dengan tawaran pakej tersebut, beliau telah mengarahkan enam anggotanya menyamar sebagai pasangan suami isteri untuk menyertai sesi penerangan syarikat itu di salah sebuah hotel terkemuka di negeri ini.

Menurut Abd. Hafidz, setelah enam anggotanya memperoleh nombor rahsia untuk membolehkan mereka memasuki sesi tersebut, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangannya bahawa syarikat terbabit menawarkan pakej yang tidak sah kepada orang ramai.

‘‘Sewaktu kakitangan saya berada pada sesi penerangan itu mereka mendapati syarikat berkenaan cuba memperdaya kira-kira 12 pelanggan dengan taktik yang sama menawarkan pakej percutian secara percuma.

‘‘Bagaimanapun, setibanya di tempat itu, syarikat tersebut sebenarnya mahu pelanggan membeli minuman kesihatan bernilai RM176 sebotol dan pelanggan perlu membuat pelaburan percutian bernilai RM14,800.

‘‘Lebih mengejutkan, kakitangan syarikat itu seperti memaksa pelanggan dan mengambil wang sewaktu tempoh bertenang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bertindak daripada maklumat kakitangannya yang menyamar, beliau berkata, sepasukan anggota penguat kuasa terus membuat serbuan di sebuah dewan seminar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat itu melanggar Akta Jualan Langsung 1999 apabila memberi tempoh bertenang kepada pelanggan dalam tempoh yang singkat untuk mengutip bayaran.

Mengikut akta, kata Abd. Hafidz, tempoh bertenang untuk pelanggan membuat bayaran pada mana-mana syarikat jualan langsung berlesen adalah 10 hari.

Ujarnya, sebanyak tiga pelanggan membuat bayaran antara RM1,000 hingga RM4,000 dengan menggunakan kad kredit untuk menyertai pakej percutian di mana-mana hotel di seluruh dunia.
‘‘Selain itu juga, kita dapati lesen syarikat jualan langsung daripada kementerian yang dipamerkan, bukan yang asal sebaliknya yang telah dibuat salinan.

‘‘Lesen itu dilihat amat mencurigakan dan kita akan merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat ketulenan lesen tersebut,” ujarnya.

Ekoran daripada itu tambah beliau, pihaknya telah merampas 79 botol minuman kesihatan, mesin pencetak dan mesin kad kredit yang keseluruhan bernilai RM15,000.

Beliau berkata, syarikat itu akan disiasat di bawah Akta Jualan Langsung 1999 sebelum mereka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment