Wednesday, March 3, 2010

Polis bongkar kegiatan palsu resit tol, minyak (3/3/10)

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket yang menghasilkan resit palsu bagi bayaran tol, Touch N Go dan minyak untuk destinasi perjalanan Lebuhraya Utara-Selatan antara Johor dan Pulau Pinang dalam satu serbuan di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT), semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata serbuan itu dibuat hasil maklumat orang ramai dan risikan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sejak dua minggu lalu.

"Polis merampas dua set komputer, tiga mesin pencetak, tiga gelung kertas cetakan lebuhraya Plus dan Shahpadu, tujuh buku latihan yang mengandungi maklumat kenderaan, 77 keping pelbagai resit, dan wang tunai RM220," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Beliau berkata, kebanyakkan pelanggan sindiket ini terdiri daripada pemandu lori yang menggunakan resit berkenaan untuk membuat tuntutan bayaran dengan majikan.

"Pemandu lori yang terbabit dengan sindiket ini tidak melalui lebuh raya sebaliknya menggunakan jalan lama, dan resit palsu itu pula dijual berhampiran plaza tol," katanya.

Ayub berkata, bagi pemandu lori yang melalui laluan lebuh raya perlu membayar RM106 tetapi dengan menggunakan resit palsu mereka hanya perlu membayar antara 60 sen hingga RM5 bagi satu perjalanan.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu dan memperoleh pendapatan kira-kira RM360,000 setahun.

Polis turut menahan tiga lelaki serta dua wanita Indonesia dalam serbuan itu dan mereka disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat serta denda. - Bernama

No comments:

Post a Comment