Wednesday, March 10, 2010

PAC tidak puas hati penjelasan SPMB

Oleh Magendran Rajagopal

2010/03/11
Tempoh 3 minggu diberi perjelas isu peningkatan kos projek diusul

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak berpuas hati dengan penjelasan wakil Syarikat Perumahan Malaysia Berhad (SPMB) yang dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan peningkatan mendadak kos beberapa projek yang diuruskannya.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata beliau dan anggota jawatankuasa itu meminta SPMB menyediakan maklumat lebih terperinci berhubung butiran perbelanjaan dan punca sebarang kenaikan kos.

“Penelitian awal mendapati, ada projek tertentu mengalami pertambahan kos berbanding anggaran asal tetapi tidak dapat dipastikan sama ada wujud salah laku pada pihak SPMB. “Kita akui tanggungjawab SPMB adalah besar kerana ia menguruskan pembinaan 24,000 unit rumah manakala 9,000 unit sudah dijual. Kita tidak mempersoalkan kebolehannya tetapi hanya mempertikaikan kos yang ditanggung.

“Sehubungan itu, kita beri mereka tempoh tiga minggu untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci dan menemui kita sekali lagi pada 23 Mac ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isu kos melebihi anggaran asal itu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, sekali gus mengundang teguran pelbagai pihak yang mendakwa wujud salah laku dalam pengurusan kewangan.

Setahun sebelum itu, SPMB dikritik berikutan dakwaan masih berhutang kira-kira RM500 juta kepada 34 kontraktor Bumiputera.

Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut menyelar SPMB kerana lewat menyiapkan projek kompleks perumahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang membabitkan kontrak RM1.5 bilion bagi membina 6,000 unit rumah.

Ahmad Zahid, yang juga bekas Pengerusi SPMB, dilaporkan berkata bukan saja projek berkenaan lewat siap, malah rumah yang siap dikesan mempunyai banyak kecacatan.

No comments:

Post a Comment