Friday, March 5, 2010

Bekas peguam pecah amanah RM270,972 dipenjara dua tahun

BUTTERWORTH 5 Mac 2010 - Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah hampir RM271,000 milik pelanggannya sembilan tahun lalu.

Hakim Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Suhani Mat Daud (gambar), 43, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

''Saya membuat keputusan setelah mendengar dan mengambil kira rayuan yang dikemukakan kerana ia adalah kesalahan pertama.

"Suhani juga telah membayar balik wang kepada pengadu dan telah meninggalkan profesionnya,'' katanya.

Sambil menyifatkan kesalahan Suhani adalah serius, beliau menolak permohonan peguam, Simon Murali yang mewakili wanita itu supaya mahkamah menggenakan bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan ikat jamin yang dikenakan kepada tertuduh ditambah daripada RM10,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Suhani disabitkan atas kesalahan melakukan pecah amanah tersebut membabitkan wang berjumlah RM270,972.16 di Pejabat Tetuan Suhani and Partners di No. 42, Bangunan Mara, Jalan Danby, Bukit Mertajam antara 28 Mac dan 6 Julai, 2001.

Wang tersebut didakwa diserahkan kepadanya untuk urusan jual beli sebidang tanah di Seberang Perai Tengah.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada 28 Julai 2008 selepas pengadu membuat laporan polis berikutan kegagalan wanita itu menguruskan bayaran Perjanjian Sewa Beli tanah terbabit yang bernilai RM301,080.18.

Suhani mendakwa menggunakan wang itu untuk melunaskan hutang firma guamannya pada waktu itu tetapi berjanji untuk membayar balik wang tersebut.

Terdahulu, Simon memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan menanggung sembilan anak.

''Suhani juga telah membayar balik kesemua wang yang digunakannya. Oleh itu saya pohon mahkamah mengambil kira perkara ini,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Devanandan yang mengendalikan pendakwaan pula memohon hukuman setimpal kerana ia adalah satu kesalahan yang sangat serius dan melibatkan jumlah yang banyak.

Tertuduh juga, ujarnya, masih menjadi pengamal undang-undang sehingga 2003 dan hanya berusaha membayar balik wang yang digunakan itu selepas dituduh pada 2008.

No comments:

Post a Comment