Sunday, March 28, 2010

Sindiket loteri haram tumpas

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 28 Mac 2010 - Polis berjaya mematahkan sindiket perjudian loteri haram yang terbesar di negeri ini dengan membabitkan pertaruhan mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Batu Dua di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.15 petang itu, polis menahan dua lelaki yang dipercayai menyewa rumah tersebut bagi menguruskan pertaruhan dari seluruh negeri ini.

Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, siasatan pihaknya mendapati, rumah itu disewa sejak tiga tahun lalu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, rumah itu hanya dijadikan sebagai pusat operasi yang mengumpul keseluruhan pertaruhan yang dibuat melalui ejen di seluruh negeri ini.

"Serbuan dilakukan selepas kita mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kewujudan satu rumah yang dijadikan sebagai pusat operasi perjudian.

"Polis tanpa membuang masa terus menyerbu pusat judi berkenaan dan mendapati aktiviti perjudian tersebut memang ada," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Berikutan serbuan itu, dua lelaki berusia 43 dan 44 tahun ditahan kerana dipercayai mendalangi kegiatan perjudian berkenaan.

Ujarnya, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai ejen kepada pusat perjudian itu yang mengutip wang berjumlah antara RM20,000 hingga RM30,000 sehari dan mampu mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan.

Katanya, turut dirampas, beberapa peralatan untuk menerima pertaruhan daripada pelanggan termasuk mesin faks, komputer riba dan telefon bimbit.

Kedua-dua suspek, kata Maszely, kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM200,000 atau lima tahun penjara.

Sementara itu, dalam serbuan di Gua Musang, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan atas kesalahan yang sama.

"Turut dirampas tiga helai kertas pertaruhan dan wang tunai RM2,000," ujarnya.

No comments:

Post a Comment