Friday, March 19, 2010

Projek lebuh raya: Datuk didakwa tipu Datuk

PUTRAJAYA 19 Mac - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengarah urusan sebanyak RM40,000 bagi mendapatkan projek pembinaan lebuh raya di Johor, dua tahun lalu.

Datuk Azraie Jamaluddin, 33, dituduh menipu Datuk Shahroldin Ali, 60, bagi mendapatkan projek Lebuh Raya Bertol Pasir Gudang-Johor Bahru di antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 13 Ogos 2008 di Hotel Marriott di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu mangsa yang ketika itu merupakan Pengarah Urusan Master Prestige Sdn. Bhd. sehingga lelaki itu mempercayai bahawa wang berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan projek tersebut daripada Menteri Kerja Raya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 19 April ini.

Azraie diwakili oleh peguam Azman Zakaria manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais.

No comments:

Post a Comment