Tuesday, March 16, 2010

Unit udara APMM gagalkan aktiviti pindah minyak di Pengerang

2010/03/17
JOHOR BAHRU: Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayia (APMM) berjaya menggagalkan kegiatan pemindahan minyak secara haram yang membabitkan dua kapal tangki di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahad dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua kapal tangki, MT Sakthi dan MT Napa 1 itu dikesan pada kira-kira jam 11.40 pagi di kedudukan 2.5 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa.

Beliau berkata, kedua-dua kapal itu disyaki sedang memindahkan minyak apabila hos minyak kapal berkenaan didapati bersambung antara satu sama lain semasa helikopter Dauphin APMM menghampirinya. Katanya, helikopter Dauphin itu kemudian menghubungi bot kilat APMM yang berada berhampiran lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut mendapati MT Sakthi sedang memindahkan 30,000 liter minyak jenis Marin Fuel Oil (MFO) ke MT Napa 1 tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau berkata, ada 30 anak kapal di dalam kedua-dua kapal yang dimiliki syarikat yang sama, yang berpangkalan di Singapura dan kapten serta juruteranya kemudian dibawa ke ibu pejabat APMM, di sini, untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment