Tuesday, March 16, 2010

Hati-hati individu menyamar pegawai JKM

KOTA KINABALU 16 Mac 2010 - Orang ramai khususnya warga emas dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendakwa mampu mengurus segala masalah berkaitan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Negeri kepada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, ini kerana, pada tahun ini sahaja, sebanyak 12 kes penipuan melibatkan kerugian RM26,590 dikesan di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, dalam kebanyakan kes, mangsa mengadu didatangi oleh seorang wanita dan lelaki yang akan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai JKM.

''Kebiasaannya suspek akan mendampingi warga emas itu di kawasan tumpuan ramai seperti kompleks membeli-belah.

"Suspek kemudian akan membawa mangsa menaiki kereta kononnya untuk dibawa ke JKM tetapi dalam perjalanan itu akan dikehendaki mengisi borang dan diminta menyerahkan bayaran mengurus bantuan tersebut.

"Sejurus selepas itu mereka akan menghantar mangsa balik dan terus menghilangkan diri," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, kebanyakan kes penipuan itu berlaku di Tuaran, Papar, Putatan, Penampang, Inaman dan Kota Kinabalu.

"Jadi kita minta orang ramai terutama pesara dan warga emas berhati-hati dan tidak terpedaya dengan kumpulan penipu itu," katanya

Sementera itu Hock Sing turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

Katanya, pada tahun lalu sahaja sebanyak 39 kes melibatkan kerugian sebanyak RM124,480 dilaporkan akibat menyertai peraduan menerusi SMS itu.

"Pada tahun ini sahaja sebanyak sembilan kes melibatkan kerugian RM11,967 sudah dilaporkan.
''Oleh itu, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh,'' katanya.

No comments:

Post a Comment