Sunday, March 28, 2010

T-Melmax bakal kukuh kedudukan

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/03/29
Rancang tersenarai pasaran ACE

T-MELMAX Sdn Bhd, penyedia khidmat perisian bagi sektor perbankan, bakal mengukuhkan kedudukan di pasaran Asean dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi rancangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, tahun depan.

Syarikat berstatus MSC itu kini sudah meneroka pasaran Thailand dan Indonesia dengan menyandarkan produk pembayaran elektronik yang dibangunkan anak tempatan sepenuhnya. Ketua Eksekutif T-Melmax, Abdul Mushir Che Chik, berkata bersandarkan rekod kewangan semasa, syarikat sudah memenuhi kriteria diperlukan untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Katanya, cadangan penyenaraian itu sejajar hasrat T-Melmax untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran Asean, sebelum menembusi pasaran yang lebih luas pada masa depan.

“Justeru, hasil daripada penyenaraian itu kelak bakal digunakan bagi tujuan itu (pengembangan di pasaran Asean) serta meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah lebih banyak produk kepada pelanggan,” katanya ketika ditemubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Mushir berkata, tempoh penyenaraian itu juga bertepatan dengan usia syarikat yang bakal mencecah 10 tahun pada 2012, jelas menunjukkan perkembangannya dalam industri yang jarang diceburi Bumiputera.

Katanya, antara rancangan pengembangan T-Melmax pada masa depan ialah memperkayakan kegunaan produk yang dihasilkannya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia perkhidmatan utama untuk industri perbankan perniagaan.

“Kami mahu fokus dalam satu-satu bidang yang diceburi. T-Melmax tidak mahu terlalu menumpukan segmen perniagaan lain,” katanya.

T-Melmax kini adalah antara penyedia khidmat perisian bagi bank utama di Malaysia. Antara pelanggannya ketika ini ialah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, EON Bank, Bank Rakyat dan MBf.

Abdul Mushir berkata, syarikat merancang mengukuhkan kerjasama dengan syarikat lain bagi meninjau peluang membangunkan perkhidmatan yang dapat memberi manfaat lebih luas kepada pelanggan.

“Kami terbuka kepada sebarang pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam bidang ini dengan T-Melmax,” katanya.

Produk utama dibangunkan T-Melmax ialah 'MaxPaygate Link' iaitu perisian yang mampu mengatasi soal berkaitan dokumen dalam sesebuah syarikat seperti urusan sumber manusia, gaji, cukai, caruman hari tua dan insurans pekerja, serta bayaran kepada pembekal.

Syarikat itu memperoleh dana daripada Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) untuk membangunkan rangkaian produknya.

No comments:

Post a Comment