Wednesday, March 10, 2010

‘Tidak mengikut spesifikasi’

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 10 Mac 2010 – Semua pihak termasuk perunding dan kontraktor yang terlibat dalam membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta perlu bertanggungjawab terhadap kejadian runtuhan bumbung stadium pada 2 Jun tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman sejurus mendapat kelulusan dan persetujuan mesyuarat itu di sini hari ini.

Pendedahan itu sekali gus menamatkan teka-teki berhubung bila laporan itu akan didedahkan kepada umum setelah beberapa kali tertangguh sejak kejadian tahun lalu.

Laporan 60 muka surat termasuk gambar yang disediakan Jawatankuasa Penyiasatan mengenai kejadian itu turut menyebut bahawa kontraktor utama projek berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kejadian tersebut.

Laporan itu menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan bumbung stadium berkenaan runtuh yang antara lain menyebut reka bentuk didapati tidak mencukupi di mana perekanya gagal mengambil kira pertimbangan sepenuhnya bagi menyokong struktur bumbung.

Bumbung yang dibina terlalu lemah serta tiada kawalan berkualiti pada tapak selain kerja-kerja pembuatan dan material pula tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Selain itu, faktor lain sebagai penyebab runtuhan adalah disebabkan bentuk seni bina tanpa menggunakan tiang penyokong lalu menyebabkan bumbung sangat sensitif kepada sebarang pergerakan yang berlaku.

Ahmad menjelaskan, semua pihak yang terbabit dalam pembikinan stadium berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan pihaknya sudah memberi notis kepada kontraktor terbabit untuk menjalankan kerja pembersihan sisa bumbung yang runtuh.

Beliau turut mempersoalkan kewibawaan sesetengah jurutera atau checker yang sepatutnya mempunyai pengalaman lebih luas dalam membina sesebuah kompleks mega sedemikian bagi mengelak timbul masalah.

“Sebab itu saya kata, sepatutnya checker lebih hebat daripada pihak lain. Sama juga dengan guru yang sepatutnya ada tali pinggang hitam dan dia mesti lebih hebat daripada anak murid. Begitu juga untuk jadi konsultan, dia kena ada sekurang-kurangnya 15 tahun hingga 20 tahun pengalaman.

“Kadang-kadang dia kerja antara empat hingga lima tahun saja, dia dah lari. Adakah kita pernah buat bangunan macam ini? Satu lagi kesilapan kita, bila kita lantik konsultan, kita anggap konsultan lebih hebat. Kita tak periksa balik, betul atau tidak reka bentuk dia,” katanya.

Beliau menegaskan, berdasarkan perjanjian asal, kontraktor yang terlibat akan dipertanggungjawabkan terhadap kejadian yang berlaku.

Mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung runtuh, Ahmad menjelaskan, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan notis mengenainya namun belum menerima maklum balas.

“Sehubungan itu kita akan keluarkan tender secepat mungkin untuk bersihkan semula bumbung runtuh ini, mungkin dalam minggu ini keluar tender,” tambahnya.

Pada 14 Januari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan bahawa laporan lengkap mengenai kejadian itu akan diumumkan Menteri Besar selewat- lewatnya minggu berikutnya selepas Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengesahkan laporan itu telah diserahkan kepada Ahmad.

Shaziman mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan beliau dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia pada 14 Januari lalu.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dan menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam selain bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

No comments:

Post a Comment