Friday, March 26, 2010

Pemandu tanpa lesen kaut RM700 sehari

2010/03/27
KUALA BERANG: Seorang pemandu treler yang tidak mempunyai lesen memandu mampu memperoleh pendapatan bersih RM700 sehari selepas ditolak kos sewa kenderaan dan minyak untuk mengangkut bijih besi dari Grik, Perak ke Kuantan.

Kegiatan lelaki itu terbongkar apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi berhampiran Tasik Kenyir di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pemandu berusia 40 tahun terbabit juga didapati membawa lebih muatan selain tidak memiliki Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Katanya, pemandu treler yang akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya esok dibebaskan, tetapi treler dipandunya ditahan sehingga ada rakannya yang mempunyai lesen memandu mengambil kenderaan berkenaan.

“Kita mengadakan operasi bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu selepas menerima aduan mengenai kerosakan teruk jalan yang belum diwartakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebanyak lapan saman dikeluarkan terhadap enam treler yang sarat dengan muatan bijih besi dan dua lori balak,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan, semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati lebih 80 treler yang sarat dengan muatan bijih besi ditinggalkan di jalan berkenaan iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya, selepas pemandunya menyedari JPJ sedang melakukan sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, JPJ dan anggota polis trafik tidak dapat mengambil sebarang tindakan untuk kenderaan ditinggalkan itu belum diwartakan.

No comments:

Post a Comment