Monday, November 29, 2010

Johor: Awas pegawai JKM minta serah semula bantuan

Oleh Mohd Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/11/30
BATU PAHAT: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diingatkan supaya berhati-hati terhadap kehadiran kumpulan yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu dan meminta mereka supaya menyerahkan wang bantuan yang diterima.

Pegawai JKM Daerah, R Chitarthany, berkata modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan mendakwa pegawai JKM dan kononnya sebelum ini tersilap memberi mereka wang palsu dan meminta supaya wang itu dipulangkan bagi diganti semula.
“Kumpulan ini yang menyamar sebagai pegawai JKM mensasarkan warga tua, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan JKM dengan pergi ke rumah mereka dan meminta menunjukkan kad bantuan JKM kononnya bagi tujuan pemeriksaan. “Mereka kemudian memperdaya golongan itu dengan mendakwa pegawai JKM sebelum ini tersilap memberi mereka wang palsu dan meminta supaya wang itu dipulangkan bagi proses diganti semula.

“Sehingga kini beberapa kes sudah dikesan berlaku di kawasan Ayer Hitam dan Parit Raja di sini berikutan penerima mengadu wang bantuan mereka yang kononnya diambil masih belum digantikan lagi," katanya ketika ditemui di rumah suami isteri penerima bantuan OKU di Kampung Parit Guntong di sini.

Chitarthany menasihatkan penerima bantuan JKM di daerah ini supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran mereka yang tidak dikenali kerana pegawai JKM yang dihantar ke rumah penerima biasanya adalah pegawai yang sama serta dikenali penerima bantuan.

“Penerima yang sudah ditipu diminta supaya tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dan tangkapan dapat dibuat seterusnya dapat menghapuskan kewujudan kumpulan penipu berkenaan," katanya.
Sementara itu, rombongan JKM yang diketuai Chitarthany turut melawat pasangan suami isteri OKU, Ahmad Masri, 71, dan Senah Agil, 70, di rumah mereka di Kampung Parit Guntong, Mukim Satu Lubok, Semerah, yang sebelum ini didakwa terabai dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas anjung dan bumbung rumah mereka dihempap pokok dalam kejadian ribut, bulan lalu.

Beliau berkata, JKM tidak pernah mengabaikan pasangan berkenaan seperti didakwa segelintir pihak malahan bantuan bencana sebenarnya sedang diproses sebelum diserahkan kepada mereka.

“Bantuan berkenaan sedang diproses dan kita akan menyerahkannya segera apabila semua prosedur selesai. Malah, pegawai kami menghantar sendiri wang bantuan bulanan RM300 yang diperoleh Ahmad terus kepadanya sejak 10 tahun lalu dan kini kami juga sedang memproses bantuan kepada isterinya pula yang bakal menerima bantuan bulanan RM150, berikutan beliau juga disahkan sebagai OKU," katanya.

4 kapal dagang ditahan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/11/30


ANTARA kapal yang ditahan pasukan APMM kerana disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di Johor Bahru, semalam. APMM kesan pindah minyak, berlabuh tanpa kebenaran

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat kapal serta 70 anak kapal warga asing selepas disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak secara haram serta berlabuh tanpa kebenaran dalam dua siri serbuan di
perairan timur Tanjung Penyusop dan Tanjung Piai, di sini, awal pagi semalam. Dalam Operasi Perkasa Selatan di timur perairan Tanjung Penyusop kira-kira jam 3 pagi itu, sepasukan 28 anggota dan pegawai APMM diketuai Leftenan Mahmad Faizal Ahmad berjaya mengesan dua kapal dagang dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Maritim Zubil Mat Som, berkata pemeriksaan dijalankan ke atas dua kapal terbabit mendapati lebih 500,000 liter minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan dari kapal MT Marina 99 ke MT Li Bai tanpa kebenaran.

“Pemantauan yang dijalankan mendapati dua kapal terbabit berlabuh secara rapat antara satu sama lain menyebabkan kami curiga dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491(1)(k) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan dan penerimaan minyak di laut tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Sementara itu, Zubil berkata, pihaknya sebelum itu menahan dua kapal MT SNS dan MT CSC Amenthyst kerana dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan dua batu nautika timur Tanjung Piai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati dua kapal berkenaan turut gagal membayar dius api serta menghalang laluan keluar masuk ke pelabuhan Tanjung Pelepas. Kes disiasat mengikut Akta Dius Api 1953,” katanya.

Beliau berkata, dalam dua serbuan terbabit seramai 70 anak kapal terdiri daripada warga China, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan Ukraine berusia antara 21 dan 63 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

2 lagi didakwa rasuah kes diesel

ALOR SETAR 29 Nov. 2010 - Dua penyelia gudang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Loi Kok Lun, 29, dan Koh Kok Shiun 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan masing-masing.

Kok Lun didakwa memberi rasuah RM4,000 kepada Nazrul Hisham Hamudi Ismail sebagai dorongan supaya penjawat awam itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana kesalahan menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Mas Petroleum Sdn. Bhd, Jalan PKNK 4, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu antara pukul 6.50 dan 7 petang, 22 Oktober lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd. Sabri Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula pada 18 Januari depan.

Di mahkamah berasingan, Kok Shiun didakwa di bawah seksyen sama akta tersebut iaitu memberi rasuah RM3,000 kepada pembantu penguat kuasa KPDNKK, Mohd. Iswandy Ahamad agar tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadapnya kerana menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Honest Acceptance (M) Sdn. Bhd., Lot 112 dan 113, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini antara pukul 6.20 dan 7.05 petang, 22 Oktober lalu.

Hakim Chan Jit Li membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam T. Jegadeeson manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim.

Pada minggu lalu, pemandu lori, Sofli Ahmad dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa KPDNKK berhubung kes penyelewengan diesel bersubsidi.

Pada hari yang sama, pemilik depot simpanan minyak, Zulkifli Ibrahim dari Alor Setar pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan yang sama.

Thursday, November 25, 2010

Diesel subsidi: Pengurus stesen minyak didakwa

IPOH 25 Nov. 2010 - Seorang lagi individu yang ditahan kerana terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kali ini, ia melibatkan seorang pengurus sebuah stesen minyak di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis, Manjung, di sini.

Ngoh Keh Heng, 41, didakwa atas tiga tuduhan menawar serta memberikan rasuah kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada Pembantu Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Noraz Abdul Aziz supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana menyimpan barang kawalan haram iaitu diesel bersubsidi yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan.

Keh Heng yang ditahan pada Isnin lalu, dituduh melakukan perbuatan tersebut di Stesen Minyak BHP Min Aun Trading di Lot 2116, Batu 12, Segari, Jalan Pantai Remis, Manjung kira-kira pukul 12.40 tengah hari, 5 Ogos lalu.

Di tempat dan hari yang sama, iaitu pada pukul 12.45 tengahari, Keh Heng turut didakwa menawarkan suapan wang tunai RM8,000 iaitu RM2,000 setiap seorang kepada tiga pegawai penguat kuasa KPDNKK dan seorang pegawai SPRM.

Penguat kuasa dari KPDNKK ialah Mohd. Noraz, Mohd. Khairil Akhtar Ahmad dan Noor Hisham Abdul Aziz serta Mohd. Ridzuan Shaari dari SPRM bagi tujuan yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, Keh Heng didakwa memberikan suapan wang tunai RM4,000 iaitu RM500 setiap seorang kepada keempat-empat pegawai tersebut di Coffee House, Hotel Ipoh City, di sini antara pukul 7.30 malam dan 8 malam, 24 September lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Keh Heng pula memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan dia bekerja di stesen minyak itu dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan perlu menanggung anak-anak yang masih kecil.

Hakim Tan Hooi Leng bagaimanapun menetapkan jumlah ikat jamin seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes berkenaan pada 17 Disember ini bagi memberikan peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan ditukar

2010/11/26
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Mohd Kamal Saad ditukarkan ke Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya bermula 18 November lalu ekoran kes penyalahgunaan wang RM660,000.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata siasatan Jawatankuasa Siasatan Jabatan juga sudah dilakukan ke atas 12 pegawai termasuk Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan JPJ Negeri Sembilan tiga hari lalu untuk mendapatkan keterangan terperinci. Beliau berkata, siasatan itu memberi tumpuan dua perkara penting iaitu menentukan sama ada berlaku perlanggaran terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 ‘Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah Di Dalam Perkhidmatan Awam’. “Siasatan ini juga mahu melihat jika wujud ingkar perintah anggota JPJ terhadap arahan Ketua Pengarah supaya majlis itu dibatalkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Solah berkata, JPJ memandang serius perbuatan mengutip sumbangan daripada orang ramai kerana ia bercanggah dengan pekeliling itu dan kesalahan di bawah pekeliling terbabit boleh dihukum mengikut Peraturan 38(g), Peraturan-Pera-turan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Persatuan nelayan gesa rampas harta penyeleweng

KUALA LUMPUR 25 Nov. 2010 - Persatuan nelayan negeri kecewa dengan penyelewengan diesel subsidi yang turut melibatkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan mahu supaya harta mereka yang terlibat dirampas supaya perbuatan itu tidak berulang.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Md. Zainol Ajamin berkata, denda sahaja tidak akan berjaya membanteras perbuatan itu sebaliknya tindakan merampas harta seperti bot atau lori tangki merupakan peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

"Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada pesalah kerana subsidi tersebut adalah bantuan daripada kerajaan dan merupakan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan 19 individu di seluruh negara kerana disyaki terbabit melakukan penyelewengan diesel subsidi dalam Ops Nano yang dijalankan sejak Jun lalu.

Tambah Md. Zainol, pengawasan dalam penyaluran diesel subsidi dari depot minyak ke stesen PNK adalah perlu bagi memastikan tiada ruang untuk ia diseleweng.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah), Maslan Selen pula memberitahu, penyelewengan diesel sering berlaku di jeti kerana tiada pengawasan pihak berkuasa.

"Penyelewengan sepatutnya tidak berlaku kerana diesel subsidi merupakan insentif kerajaan untuk membantu meringankan beban nelayan.

"Pegawai penguat kuasa atau petugas e-Landing yang berada di bawah pengawasan PNK sepatutnya berada di jeti untuk mengawasi agihan diesel subsidi kepada nelayan," jelasnya.

Menurutnya, kaedah itu dapat memantau agihan diesel subsidi supaya tidak berlaku ketirisan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd. Jaman Haris berkata, sistem agihan bahan api berkenaan adalah baik, cuma kuota diesel subsidi tidak mencukupi untuk nelayan di negeri itu semasa musim tangkapan meningkat.

Syarikat minyak hantar sendiri

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my



Noh Omar melihat ikan kelisa sambil diperhatikan Mohd. Hashim Abdullah (kiri) dan Suhaili Lee (tengah) pada Pameran dan Persidangan Industri Akuatik Hiasan Antarabangsa Malaysia Ketiga 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan syarikat-syarikat minyak mengurus sendiri urusan pengangkutan bagi menghantar diesel subsidi nelayan ke jeti-jeti bertujuan mengurangkan potensi berlakunya penyelewengan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebelum ini penghantaran minyak diesel diuruskan kementerian melalui persatuan nelayan yang ada antaranya mempunyai lori.

“Melalui arahan ini, kita akan memberi kuasa secara berperingkat kepada syarikat minyak untuk melantik pihak yang menghantar diesel ke jeti dan mereka (syarikat minyak) bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebelum diesel sampai ke jeti.

“Kita sedang berbincang dengan syarikat minyak untuk membenarkan penggunaan lori persatuan nelayan bagi tujuan penghantaran, tetapi tanggungjawab kami cuma bermula selepas minyak itu sampai ke jeti untuk diagihkan kepada nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Industri Akuatik Hiasan Antarabangsa Malaysia Ketiga (Aquafair Malaysia 2010) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohd. Khazin Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan, Datuk Suhaili Lee dan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Saliran dan Pengairan (MANCIP), Datuk Mohd. Azhari Ghazalli.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel subsidi nelayan sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Seramai 19 individu dilaporkan ditahan di seluruh negara sehingga 23 November lalu kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel subsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran sejak Jun lalu.

Seramai 13 individu lagi ditahan semalam berikutan pembabitan mereka dalam siasatan penyelewengan diesel subsidi tersebut.

Menurut Noh, pengangkutan diesel ke jeti merupakan satu daripada dua sistem agihan diesel subsidi dengan sistem kedua bermula di jeti apabila minyak mula diagihkan kepada nelayan melalui sistem e-Diesel.

“Pemantauan untuk sistem kedua ini lebih sukar terutama selepas nelayan membeli diesel dan bertolak ke laut.

“LKIM tidak mampu menyiasat transaksi di tengah laut terutama melibatkan nelayan laut dalam yang membeli berpuluh ribu liter diesel kecuali jika pegawai LKIM menyamar sebagai nelayan atas bot,” jelasnya.

Noh memaklumkan bidang kuasa LKIM adalah terhad tetapi agensi itu tetap mengambil tindakan mengikut batas kuasanya terhadap jeti dan nelayan yang didapati menyeleweng diesel subsidi.

“LKIM selalu membuat pemeriksaan mengejut untuk memantau situasi ini dan berjaya menangkap beberapa individu yang dikenakan tindakan seperti menghentikan penghantaran diesel ke jeti terlibat atau menarik kembali kad e-Diesel nelayan.

“Kita juga berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyiasat dengan teliti. Kita sangkakan penyelewengan melibatkan individu sahaja tetapi laporan terbaru menunjukkan kemungkinan wujud sindiket besar,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan penyelewengan diesel itu juga sudah menghampiri peringkat akhir dan pihaknya akan memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan siasatan.

Mohd. Khazin pula berkata, LKIM sudah mengambil tindakan ke atas lebih 250 nelayan di seluruh negara melibatkan kesalahan penggunaan kad e-Diesel.

“Adalah tidak adil untuk kita mengaitkan nelayan sahaja dalam kes penyelewengan diesel subsidi sedangkan mereka hanya menerima tiga juta liter daripada 16 juta liter diesel yang dijual setiap hari kepada pelbagai industri di seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, Malaysia kini menjadi pengeluar terbesar ikan hiasan dunia dengan 860 juta ekor dikeluarkan pada 2009 manakala 1.5 bilion ekor disasar dikeluarkan menjelang 2015.

Bagaimanapun katanya, kedudukan itu gagal diterjemahkan dalam bentuk eksport kerana Malaysia cuma berada di tangga kelima pengeksport ikan hiasan utama dunia.

Jelasnya, perkara itu berlaku berikutan sebahagian ikan hiasan yang dikeluarkan Malaysia dieksport melalui negara jiran sementara eksport spesies ikan emas dan koi gagal menembusi pasaran Eropah.
Syarikat minyak hantar sendiri

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my



Noh Omar melihat ikan kelisa sambil diperhatikan Mohd. Hashim Abdullah (kiri) dan Suhaili Lee (tengah) pada Pameran dan Persidangan Industri Akuatik Hiasan Antarabangsa Malaysia Ketiga 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan syarikat-syarikat minyak mengurus sendiri urusan pengangkutan bagi menghantar diesel subsidi nelayan ke jeti-jeti bertujuan mengurangkan potensi berlakunya penyelewengan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebelum ini penghantaran minyak diesel diuruskan kementerian melalui persatuan nelayan yang ada antaranya mempunyai lori.

“Melalui arahan ini, kita akan memberi kuasa secara berperingkat kepada syarikat minyak untuk melantik pihak yang menghantar diesel ke jeti dan mereka (syarikat minyak) bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebelum diesel sampai ke jeti.

“Kita sedang berbincang dengan syarikat minyak untuk membenarkan penggunaan lori persatuan nelayan bagi tujuan penghantaran, tetapi tanggungjawab kami cuma bermula selepas minyak itu sampai ke jeti untuk diagihkan kepada nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Industri Akuatik Hiasan Antarabangsa Malaysia Ketiga (Aquafair Malaysia 2010) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohd. Khazin Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan, Datuk Suhaili Lee dan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Saliran dan Pengairan (MANCIP), Datuk Mohd. Azhari Ghazalli.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel subsidi nelayan sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Seramai 19 individu dilaporkan ditahan di seluruh negara sehingga 23 November lalu kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel subsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran sejak Jun lalu.

Seramai 13 individu lagi ditahan semalam berikutan pembabitan mereka dalam siasatan penyelewengan diesel subsidi tersebut.

Menurut Noh, pengangkutan diesel ke jeti merupakan satu daripada dua sistem agihan diesel subsidi dengan sistem kedua bermula di jeti apabila minyak mula diagihkan kepada nelayan melalui sistem e-Diesel.

“Pemantauan untuk sistem kedua ini lebih sukar terutama selepas nelayan membeli diesel dan bertolak ke laut.

“LKIM tidak mampu menyiasat transaksi di tengah laut terutama melibatkan nelayan laut dalam yang membeli berpuluh ribu liter diesel kecuali jika pegawai LKIM menyamar sebagai nelayan atas bot,” jelasnya.

Noh memaklumkan bidang kuasa LKIM adalah terhad tetapi agensi itu tetap mengambil tindakan mengikut batas kuasanya terhadap jeti dan nelayan yang didapati menyeleweng diesel subsidi.

“LKIM selalu membuat pemeriksaan mengejut untuk memantau situasi ini dan berjaya menangkap beberapa individu yang dikenakan tindakan seperti menghentikan penghantaran diesel ke jeti terlibat atau menarik kembali kad e-Diesel nelayan.

“Kita juga berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyiasat dengan teliti. Kita sangkakan penyelewengan melibatkan individu sahaja tetapi laporan terbaru menunjukkan kemungkinan wujud sindiket besar,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan penyelewengan diesel itu juga sudah menghampiri peringkat akhir dan pihaknya akan memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan siasatan.

Mohd. Khazin pula berkata, LKIM sudah mengambil tindakan ke atas lebih 250 nelayan di seluruh negara melibatkan kesalahan penggunaan kad e-Diesel.

“Adalah tidak adil untuk kita mengaitkan nelayan sahaja dalam kes penyelewengan diesel subsidi sedangkan mereka hanya menerima tiga juta liter daripada 16 juta liter diesel yang dijual setiap hari kepada pelbagai industri di seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, Malaysia kini menjadi pengeluar terbesar ikan hiasan dunia dengan 860 juta ekor dikeluarkan pada 2009 manakala 1.5 bilion ekor disasar dikeluarkan menjelang 2015.

Bagaimanapun katanya, kedudukan itu gagal diterjemahkan dalam bentuk eksport kerana Malaysia cuma berada di tangga kelima pengeksport ikan hiasan utama dunia.

Jelasnya, perkara itu berlaku berikutan sebahagian ikan hiasan yang dikeluarkan Malaysia dieksport melalui negara jiran sementara eksport spesies ikan emas dan koi gagal menembusi pasaran Eropah.

342 orang pemberi rasuah ditahan SPRM sejak Januari

25/11/2010 1:46pm



Oleh JAMLIAH ABDULLAH

SEREMBAN 25 Nov. – Seramai 342 pemberi rasuah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari tahun ini sehingga semalam membabitkan nilai suapan hampir RM2 juta.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 108 orang sepanjang tempoh yang sama tahun lalu dan 93 orang pada tahun 2008.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, peningkatan jumlah tangkapan ini menunjukkan perkembangan positif bahawa kesedaran penjawat awam kini semakin tinggi untuk memerangi pemberi rasuah. – Utusan

Surat palsu bayaran permohonan tanah di Sarawak dikesan

2010/11/25
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak meminta orang awam supaya berwaspada dengan edaran surat palsu kononnya jabatan itu akan mengenakan bayaran untuk proses permohonan tanah atau melantik ejen untuk mengutip bayaran tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu berkata mereka telah mengesan sepucuk surat palsu bertarikh 16 November 2010 diedarkan bagi mengutip bayaran sebanyak RM178.60 untuk setiap ekar/hektar tanah yang dipohon di Bahagian Samarahan. Menurut jabatan itu, surat palsu berkenaan kononnya ditandatangani pengarahnya dan dialamatkan kepada Awang Bakar Awang Daud dari Kampung Muara, Tuang, Kota Samarahan. Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Samarahan, Taib Belal, telah membuat laporan polis mengenai kewujudan surat palsu itu semalam.

Jabatan itu menasihatkan sesiapa yang dikunjungi oleh individu yang membawa surat palsu itu supaya menghubungi polis dengan segera. - BERNAMA

NEKMAT berang nelayan didakwa seleweng subsidi

Nov 25, 10 3:50pmKongsi 0Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) meminta orang ramai tidak menuding jari kepada nelayan berikutan pendedahan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bagi nelayan kerana penyelewengan itu membabitkan orang tengah dan bukan nelayan.

Ahli Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari, berkata apabila isu itu timbul, ramai yang menuding jari kepada nelayan sedangkan mereka yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan daripada kalangan nelayan.

"Saya harap segala tohmahan yang dibuat ini ditarik balik kerana kami (nelayan) mempunyai maruah dan perasaan. Saya sedih apabila isu ini timbul," katanya kepada Bernama di Wisma Nelayan di Kuala Kedah hari ini.

Utusan Malaysia hari ini memetik Datuk Seri Noh Omar berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bertindak tegas membatalkan pemberian diesel subsidi kepada mana-mana nelayan yang didapati terlibat menyelewengkan bahan bakar itu

Menurut Noh, lesen pengusaha stesen minyak yang membekalkan diesel subsidi kepada nelayan juga akan dibatalkan dan stesen mereka diarahkan ditutup sekiranya dikesan melakukan perbuatan itu.

"Ini adalah antara tindakan pentadbiran yang kita lakukan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana kita tidak ada kuasa untuk menahan atau menangkap pihak yang terbabit dalam kes penyelewengan ini.

"Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menahan mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan itu," kata Noh.

Ada rekod

Mengulas amaran itu, Abdul Hamid yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, diesel bersubsidi yang diberikan kerajaan bukan hanya untuk nelayan tetapi sektor lain seperti pengangkutan dan stesen minyak.

"Jika kita lihat semula, kebanyakan yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdiri daripada pengusaha stesen minyak dan juga pemandu lori. Jika ada pun nelayan yang terlibat (sebelum 2006), jumlahnya sangat sedikit," katanya.

Katanya, nelayan sukar untuk melakukan penyelewengan kerana mereka perlu menggunakan kad e-diesel untuk membeli diesel.

Abdul Hamid berkata, setiap nelayan mempunyai had diesel tertentu untuk diisi bergantung kepada jenis bot yang digunakan.

"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai rekod setiap kali nelayan mengisi diesel atau petrol," katanya.

Beliau berkata, bagi Kuala Kedah, sebelum kerajaan melantik NEKMAT sebagai pemborong tunggal minyak diesel bersubsidi untuk sektor perikanan pada 2006, memang terdapat penyelewengan diesel tetapi selepas Nekmat mengambil alih, tidak ada tangkapan yang dibuat.

Di Malaysia terdapat 90,000 anggota PNK dan PNK Kuala Kedah mempunyai 4,500 anggota dan merupakan persatuan yang mempunyai anggota terbesar di negara ini.

Dua hari lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, dilaporkan sebagai berkata PNK dikesan menjadi dalang utama dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada kerajaan.

Katanya, kegiatan penyelewengan itu berjaya dibongkar hasil risikan sepanjang lima bulan membabitkan 80 anggota serta pegawai SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis serta Kedah, di mana semua yang ditahan terdiri daripada ejen PNK, pengusaha jeti, "orang tengah" dan pemandu lori.

Wednesday, November 24, 2010

Sentral: Lagi tarah bukit

2010/11/25
Kerja dipercayai haram untuk dapat pasir berisiko tumbangkan pencawang

SEMENYIH: Satu lagi kerja menarah bukit untuk mendapatkan pasir dipercayai dilakukan secara haram dikesan berhampiran Taman Semenyih Impian, di sini, yang mungkin akan menumbangkan beberapa batang pencawang elektrik bervoltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ribuan pengguna sekitar Hulu Langat akan berdepan risiko bergelap jika pencawang itu tumbang dan TNB akan mengalami kerugian jutaan ringgit apabila tanah di kawasan bukit itu semakin gondol ditarah setiap hari.
Difahamkan, aktiviti itu berleluasa sejak enam bulan lalu dan kedudukannya hanya kira-kira lapan kilometer dari lokasi curi pasir yang didedahkan Sentral pada 14 Oktober lalu, berhampiran jirat Cina Nirvana Memorial Park di Kampung Pasir Baru dekat sini. Aktiviti itu juga antara punca air Sungai Lalang berkelodak selain alam sekitarnya mengalami kemusnahan apabila sumber pasirnya dilombong secara haram.
Tinjauan Sentral mendapati kegiatan itu menyebabkan sebahagian kawasan bukit sudah habis gondol dan kedudukan pencawang itu hanya beberapa meter daripada tebing bukit terbabit.

Kerakusan kegiatan terbabit berjalan dengan sewenang-wenangnya tanpa pemantauan pihak berkuasa apabila hasil tinjauan mendapati beberapa jenkaut sedang sibuk menarah tanah bukit terbabit sebelum dibawa lori lain bagi dicuci di Sungai Lalang bagi menghasilkan pasir untuk dijual.

Difahamkan, setiap hari terdapat puluhan lori yang bersiap sedia membawa pasir yang siap dicuci melalui lorong tikus yang menembusi simpang masuk Kawasan Perindustrian Villa Raya menuju ke pekan Semenyih.
Lebih membahayakan, bagi pengguna kali pertama yang melalui sepanjang jalan raya yang menghubungkan pekan Semenyih dan pekan Hulu Langat itu berdepan risiko bertembung dengan lori pasir yang seolah-olah tidak takut dikenakan tindakan undang-undang apabila menjalankan kegiatan haram itu.

Sumber yang enggan dikenali berkata, kegiatan itu menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar kerana operasinya bermula seawal jam 3 pagi hingga lewat malam setiap hari.

Katanya, penduduk juga ada bertanya kepada pemandu lori berkaitan projek itu dan dimaklumkan bukit itu ditarah untuk membolehkan sebuah kilang dibina.

“Tetapi apabila ditanya mengapa tanah dan pasir dibawa keluar, pemandu lori terbabit tidak menjawab. Kita hairan, jika ingin membina kilang bolehkan ia dibina di bawah pencawang elektrik bervoltan tinggi.

“Penduduk juga bimbang jika pencawang itu runtuh kerana risiko untuk berlakunya tanah runtuh lebih tinggi kerana kawasan tebing bukit itu semakin gondol dalam masa yang singkat, ” katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, setiap hari ada saja pemandu lori menjadikan jalan di Taman Semenyih Impian sebagai laluan masuk dan keluar pasir terutama ketika hujan lebat.

38 ekor kambing seludup bernilai RM14,000 dirampas

PADANG BESAR 24 Nov. 2010 – Sebuah ladang getah di Felcra Lubuk Sireh yang terletak hanya 400 meter dari sempadan Malaysia-Thailand di sini dipercayai dijadikan laluan oleh segelintir penyeludup untuk membawa masuk barangan dari negara jiran termasuk haiwan ternakan.

Buktinya, 38 ekor kambing jantan bernilai lebih RM14,000 ditemui sepasukan anggota Rejimen Sempadan yang baru mengambil alih tugas mengawas sempadan negara di sini petang semalam.

Kesemua haiwan ternakan itu ditinggalkan oleh dua lelaki yang melarikan diri sebaik sahaja menyedari perbuatan mereka itu disedari anggota Rejimen Sempadan terbabit.

Ketua Platun Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kapten Nasip Miroh berkata, kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika sepasukan anggota rejimen yang diketuainya bersama-sama lima anggota sedang melakukan rondaan harian.

Beliau berkata, ketika pasukannya mendaki bukit dalam jarak kira-kira satu kilometer dari Pos Simpang 5, Felcra Lubuk Sireh, mereka ternampak dua lelaki sedang menghalau kambing-kambing berkenaan menuruni bukit itu.

“Menyedari kehadiran pasukan kami, kedua-dua lelaki berkenaan segera lari meninggalkan kambing-kambing berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pos Simpang 5 di sini hari ini.

Beliau percaya kedua-dua lelaki itu diupah oleh individu lain untuk membawa masuk ternakan tersebut tetapi pihaknya tidak dapat mengenalpasti identiti mereka.

“Kita percaya kambing-kambing tersebut dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini,” katanya.

Nasip berkata, jarak antara sempadan negara di kawasan kebun getah Felcra Lubuk Sireh dengan sempadan Thailand yang terlalu hampir menyebabkan penyeludup sanggup mengambil risiko untuk menyeludup ternakan walaupun kawalan ketat dilakukan pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukannya baru sembilan hari mengambil alih kawalan keselamatan di kawasan berkenaan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Ini adalah kes pertama kami sejak Rejimen Sempadan memulakan kawalan di kawasan sempadan berhampiran Felcra Lubuk Sireh,” katanya.

Menurut beliau, kesemua ternakan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Pengarah antara 10 disyaki curi besi binaan

2010/11/25
KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pemaju dan seorang penyelia tapak pembinaan adalah antara 10 lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes mencuri besi pembinaan untuk dijual kepada sebuah syarikat besi buruk.

Semua mereka berusia antara 26 hingga 60 tahun itu termasuk seorang warga emas yang juga pemilik syarikat besi buruk ditahan kira-kira jam 2 petang, Isnin lalu di hadapan premisnya di Batu 6, Jalan Sungai Besi di sini. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata enam daripada suspek adalah pemandu dan kelindan empat treler yang turut ditahan di hadapan premis berkenaan. “Dua treler terbabit membawa muatan besi pembinaan, manakala dua treler lagi tiada muatan.

“Enam suspek itu dipercayai ditugaskan untuk membawa muatan besi yang dicuri dari tapak pembinaan, manakala tiga lagi suspek iaitu pengarah syarikat pemaju, penyelia tapak pembinaan dan seorang tukang kayu bertindak sebagai dalang kes ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, besi itu dijual kepada syarikat besi buruk berkenaan dan nilai rampasan dianggarkan lebih RM100,000.

Katanya, pemilik syarikat besi buruk itu dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan faktor usia dan kesihatan, manakala sembilan suspek lain ditahan reman selama tiga hari bermula kelmarin.

Lagi 13 individu ditahan

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my



PEMANDU lori, Sofli Ahmad dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung kes penyelewengan subsidi diesel. PEMILIK depot simpanan minyak, Zulkifli Ibrahim tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas tuduhan yang sama. Zulkifli mohon supaya dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail. – utusan/Roy Azis Abd Aziz

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 24 Nov. – Seramai 13 lagi individu dari tiga negeri ditahan hari ini kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan.

Selain tangkapan baru itu, sebanyak 21 premis industri di seluruh negara yang membeli diesel bersubsidi turut disiasat.

Menurut Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah, lapan individu daripada jumlah tangkapan baru itu ditahan di Sarawak, Perak (tiga) dan Pahang (dua), turut melibatkan pengusaha jeti, pemilik bot, tangki minyak haram, depot dan persatuan nelayan kawasan (PNK).

“Sebanyak dua premis industri di Pahang, Sarawak (empat), Kedah (lima) dan Perak (10) sedang disiasat kerana dipercayai membekalkan minyak bersubsidi kepada individu yang tidak sah.

“Sekiranya didapati bersalah, pemilik premis industri terbabit boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, seramai 19 individu ditahan di seluruh negara kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh negara, sejak Jun lalu.

Dalam kira-kira 20 serbuan yang dijalankan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, sebanyak 414,000 liter diesel bersubsidi berjaya disita.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel bersubsidi sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Kegiatan menyeleweng sebahagian diesel bersubsidi digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan nelayan.

Mohd. Jamidan berkata, siasatan pihaknya menjurus kepada penawaran suapan sama ada kepada PNK atau pegawai penguat kuasa KPDNKK.

“Kes-kes yang melibatkan suapan itu berlaku sama ada peras ugut atau memastikan kelancaran urusan bekalan diesel terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, SPRM masih mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan haram terbabit di seluruh negara.

Pemilik depot minyak dituduh rasuah

24/11/2010 2:17pm



ALOR SETAR 24 Nov. – Seorang pemilik depot simpanan minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai RM3,000 kepada seorang pegawai penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Zulkifli Ibrahim, 45, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Dia didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Hashim Mat Daud sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di AW Utara Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu pada pukul 5 petang hingga 5.30 petang, 11 Oktober lalu. – Utusan

Tuesday, November 23, 2010

Pengusaha tangki minyak haram dipenjara

24/11/2010 12:47pm


IPOH 24 Nov. – Seorang pengusaha tangki minyak haram (skid tank), Rosli Ahmad mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda RM10,000 dan jika gagal membayar denda boleh dihukum penjara selama enam bulan. – Utusan

8,000 hektar hutan simpan diceroboh

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

2010/11/24
Rantau Panjang, Bukit Tarek tak boleh dimajukan

BUKIT TAGAR: Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor (PTDHS) mengesan satu lagi aktiviti pencerobohan hutan simpan seluas 8,000 hektar membabitkan dua kawasan di Rantau Panjang dan Bukit Tarek di sini, semalam.

Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata walaupun surat pengharaman untuk membangunkan kawasan hutan simpan terbabit sudah beberapa bulan dikeluarkan, aktiviti itu terus berleluasa. Beliau berkata, status dua kawasan berkenaan itu jelas diwartakan sebagai hutan simpan yang tidak membenarkan sebarang aktiviti pembangunan. Katanya, beliau musykil bagaimana aktiviti pembangunan hutan itu berjalan tanpa sekatan daripada jabatan bertanggungjawab.

Keputusan dikeluarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Jun lalu memutuskan aktiviti pembangunan diharamkan di kawasan itu.

Bagaimana aktiviti itu terus berlaku sehingga memusnahkan 8,000 hektar tanah daripada jumlah keluasan sebenar hutan simpanan itu iaitu 10,000 hektar, katanya selepas tinjauan ke kawasan terbabit, semalam.

Nor Hisham berkata, MMKN memutuskan kebenaran diberikan kepada syarikat lantikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang bertanggungjawab membangunkan kawasan itu, ditarik balik.
Katanya, PKPS juga dituntut mengembalikan semula tanah berkenaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) seperti diputuskan pada MMKN itu.

PDHS amat serius dalam apa juga perkara yang diletakkan di bawah tanggungjawabnya dan apabila perkara seperti ini berlaku, maka tindakan tegas
akan diambil, katanya.

Choo Keong dedah dua lagi nama

KUALA LUMPUR 23 Nov. 2010 – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menghangatkan kembali isu rasuah dan kecurian pasir di Selangor apabila mendedahkan dua lagi nama individu yang didakwa terlibat dalam kes itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dakwanya, dua individu itu ialah Pengurus Pemasaran Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), Wong Swee Leong dan pemilik syarikat Sungai Rambai Angkut Sdn. Bhd., Datuk Tan Chin Huat yang mendapat tender membeli pasir daripada KSSB.

Menurut Choo Keong, Swee Leong merupakan individu yang dilantik oleh Exco Selangor, Ronnie Liu ke jawatan itu di KSSB yang merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor.

“Swee Leong dilantik oleh Ronnie Liu untuk menjalankan pelbagai kegiatan di mana syarikat seperti Sungai Rambai Angkut Sdn. Bhd. milik Chin Huat mendapat kontrak pasir pada harga RM13.50 berbanding harga biasa iaitu RM17.50,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bagaimanapun tidak menjawab persoalan mengenai dua individu yang disebut Choo Keong itu.

Sebaliknya, Vui Keong memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam fail siasatan berhubung kes rasuah dan kecurian pasir melibatkan KSSB.

Jelasnya, salah satu fail itu merupakan siasatan umum mengenai KSSB sementara lima lagi melibatkan beberapa individu yang terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, beliau yakin SPRM berupaya melengkapkan siasatan itu dalam sedikit masa lagi sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Seperti saya maklumkan, dua individu sudah diambil tindakan di mahkamah, tidak payah ulang nama mereka sebab dah diumumkan dalam surat khabar.

“Untuk makluman, apabila siasatan dimulakan oleh SPRM, banyak isu yang perlu dikenal pasti oleh SPRM seperti saksi dan dokumen berkenaan dan ia juga berkait dengan pasaran pasir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Choo Keong juga menyeru Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan segera hasil siasatan kes rasuah melibat bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop iaitu Hasbie Satar.

Menurutnya, banyak pihak kini tertanya-tanya mengenai perkembangan kes itu memandangkan SPRM telah pun menyerahkan siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara beberapa bulan lalu.

“Siasatan sudah lengkap, kes Hasbie Satar mula disiasat sejak lebih setahun lalu, jadi Peguam Negara akan dakwa atau tidak Hasbie Satar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Hasbie ditahan pada 12 Februari lalu tetapi dibebaskan oleh SPRM enam hari kemudian dengan jaminan RM50,000.

19 ditangkap seleweng diesel subsidi

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my



SEORANG kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa keluar sejumlah dokumen bagi membantu siasatan kes penyelewengan diesel bersubsidi di Manjung, Perak, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



IPOH 23 Nov. - Seramai 19 individu ditahan di seluruh negara kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh negara, sejak Jun lalu sehingga semalam.

Mereka yang ditahan melibatkan pengusaha jeti, pemilik bot, tangki minyak haram (skid tank), depot individu dan persatuan nelayan kawasan (PNK) di empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis dan Kedah.

Dalam kira-kira 20 serbuan yang dijalankan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, sebanyak 414,000 liter diesel bersubsidi berjaya disita.

Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, selain itu, pihaknya juga mengesan cubaan merasuah pegawai KPDNKK sebanyak RM80,000.

Katanya, hasil tangkapan tertinggi direkodkan di Perak, melibatkan 11 orang sebanyak 200,000 liter, diikuti lima di Pahang (16,000 liter), dua di Kedah (141,000 liter) dan seorang di Perlis (57,000 liter).

"Kita akan menangkap lebih ramai lagi individu dan mengambil tindakan bukan sahaja di bawah Akta Pencegahan Rasuah tetapi juga melibatkan peruntukan perundangan di bawah kementerian terlibat iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Pasukan Petugas Khas KPDNKK, Fahmi Kasim.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel bersubsidi sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Kegiatan menyeleweng sebahagian diesel bersubsidi digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan-persatuan nelayan.

Dalam pada itu, Mohd. Jamidan berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, kebanyakannya terdiri daripada pengusaha lelaki yang berusia dalam lingkungan 40 tahun ke atas.

Menurut beliau, modus operandi adalah dengan melibatkan PNK sendiri yang membawa terus diesel bersubsidi ke kilang untuk dijual kepada sektor industri.

Katanya, selain itu, ada juga yang membawanya ke sempadan serta menjalankan perniagaan haram menggunakan tangki minyak haram.

"Terdapat juga ejen PNK mahupun nelayan yang menjual kepada peraih, kapal tangki tempatan (secara terus) dan bot nelayan asing (melalui tukaran ikan atau wang).

"Daripada 5.1 bilion liter diesel subsidi yang dibekalkan sejak 2006, 257 juta liter daripadanya telah diseleweng dengan ketirisan sebanyak lima peratus berlaku pada setiap tahun.

"Siasatan lanjut akan terus dijalankan ke atas PNK terbabit termasuk pegawai-pegawai penguat kuasa bagi membuktikan sama ada mereka terlibat sama," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, berdasarkan rekod KPDNKK pada tahun ini, sebanyak 98 kes penyelewengan diesel bersubsidi dikesan dengan melibatkan 706,224.39 liter sitaan dan nilai rampasan pula sebanyak RM1.7 juta.

Dalam pada itu, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan SPRM hari ini, penyelewengan berlaku bukan sahaja mendatangkan kesan kepada komuniti nelayan bahkan melibatkan wang rakyat.

Katanya, daripada 19 yang ditahan, seorang ialah pengusaha di Perlis, Kedah (dua), Perak (lapan) dan Pahang (dua).

"Selain itu, dua orang tengah ditahan di Pahang dan pemandu lori masing-masing tiga di Perak dan Pahang (satu)," kata kenyataan tersebut.

Pegawai Kanan TLDM kemuka invois palsu RM500,000

23/11/2010 5:36pm


IPOH 23 Nov. - Seorang pegawai kanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan mengemukakan invois palsu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM500,000 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, empat tahun lepas.


Zamri Jusoh, 38, seorang Leftenan Komander di TLDM Lumut dekat sini, didakwa mengemukakan empat invois palsu Landmark Plaza bernilai RM520,852,99 bagi pembelian rangsum segar pada 2006 ketika bertugas sebagai pegawai bekalan di Kapal Diraja Sri Indera Sakti.


Hakim Noor Hayati Mat membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes.


Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan dan Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Mahamad Sukri Abu Seman manakala Zamri diwakili peguam Norashikin Zainuddin. - Bernama

Persatuan nelayan, pengusaha jeti terbabit seleweng diesel subsidi: SPRM

2010/11/23
IPOH: Persatuan Nelayan Kawasan dan pengusaha jeti dikesan antara individu yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan.

Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata kegiatan yang dilakukan kumpulan sindiket itu berjaya dibongkar hasil risikan lima bulan SPRM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Monday, November 22, 2010

Ulat tiket Indonesia dicekup

Warga Indonesia ditahan oleh pegawai Imigresen kerana disyaki menjual tiket feri di Jeti Pulau Ketam, Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seorang lelaki warga Indonesia sanggup memperbaharui pas lawatan sementaranya setiap bulan semata-mata hendak memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai ulat feri di Jeti Pulau Ketam, Klang dekat sini.

Meskipun menyedari tindakannya salah di sisi undang-undang, namun lelaki berusia lingkungan 30-an itu langsung tidak takut kerana tertarik dengan gaji lumayan yang diterima hasil pekerjaan haram tersebut.

Apa tidaknya, dia dibayar gaji yang lumayan dan pendapatannya akan bertambah jika mampu menjual tiket itu di luar jeti dengan komisen sebanyak RM5 bagi setiap tiket yang dijual.

Difahamkan, dalam sehari, suspek mampu menjual tiket feri antara 300 hingga 600 keping kepada penumpang yang ingin pergi Dumai dan Tanjung Balai di Indonesia.

Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, kegiatan haram lelaki itu akhirnya terbongkar setelah dia ditangkap dalam serbuan pada pukul 11 pagi ini.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan suspek telah menjalankan intipan sejak dua minggu lalu sebelum berjaya memberkasnya hari ini.

"Selepas yakin suspek memang terlibat bekerja sebagai ulat tiket feri, kita bertindak menahannya di tempat kerjanya iaitu salah satu kaunter menjual tiket feri di Jeti Pulau Ketam pagi ini.

"Suspek yang tergamam dengan kehadiran saya bersama anggota terpaksa menyerah diri dan memberi kerjasama apabila disiasat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Chandran memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM50,000 hasil penjualan tiket feri bagi tempoh dua hari yang lalu.

Hasil siasatan, kata beliau, suspek dikesan sudah tiga tahun bekerja menjadi ulat tiket feri dengan mendapat gaji yang lumayan.

Katanya, lelaki terbabit juga mengaku memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sementara yang perlu diperbaharui setiap bulan.

Chandran memberitahu, pihaknya sedang mengesan pemilik kaunter tiket iaitu seorang rakyat tempatan yang bersubahat mengupah suspek yang kini dipercayai berada di Indonesia.

Katanya, lelaki Indonesia terbabit akan ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

SPRM tahan pegawai atasan Yayasan Selangor

Oleh V Shankar Ganesh

2010/11/22
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang pegawai atasan Yayasan Selangor berhubung dakwaan kos penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu yang melebihi RM300,000, baru-baru ini.

Pegawai berkenaan yang sebelum ini diarahkan bercuti ditahan pada sebelah pagi sebelum dibawa ke pejabatnya di Tingkat 16, Pejabat Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dekat sini. Sepasukan pegawai SPRM yang berpejabat di sini mengambil sedikit masa bagi menyemak fail sebelum membawa keluar beberapa dokumen dari pejabatnya. Difahamkan, pegawai atasan yayasan itu akan direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, ketika dihubungi berharap SPRM dapat menyiapkan siasatannya secepat mungkin bagi membolehkan pegawainya itu kembali bertugas seperti biasa.

Saya kesal dengan keadaan sekarang tetapi saya akui tiada orang mengatasi undang-undang. Jika seseorang itu didapati bersalah, dia perlu menerima kesannya dan begitulah sebaliknya. Kebenaran perlu ditegakkan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini mengarahkan pegawai atasan itu bercuti bergaji selama sebulan sehingga siasatan mengenainya selesai kerana siasatan awal menunjukkan terdapat pembabitan pejabat beliau dalam urusan mengeluarkan kos perbelanjaan tidak munasabah itu.
Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya yang melebihi RM300,000.

Ketika menyampaikan keputusan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud, berkata Sultan Selangor menyifatkan kos yang amat tinggi itu sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah.

Inginkan RM1 juta, suri rumah ditipu RM244,000

2010/11/22
KUALA LUMPUR: Kerana terpedaya dengan janji pendapatan mencecah RM1 juta, seorang suri rumah kerugian RM244,708 selepas ditipu sindiket skim cepat kaya yang menggunakan pembelian nombor ekor.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata wanita dikenali sebagai Yeoh, 57, pada akhir tahun lalu telah menerima sekeping risalah menawarkan perkhidmatan mengubah nasib. "Di dalam risalah itu tertera nama dan nombor telefon suspek yang dipercayai sifu palsu serta kenyataan mereka yang kononnya telah berjaya mendapatkan wang yang banyak dengan pembelian nombor ekor. "Sifu palsu itu berjanji akan memberikan nombor ekor yang akan mengubah nasib pelanggan sehingga keuntungan mencecah lima kali ganda bergantung kepada modal yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Yeoh yang terpedaya dengan risalah itu kemudian menghubungi nombor telefon yang diberi sebelum sifu palsu itu memintanya memasukkan RM244,708 ke dalam lima akaun bank yang berbeza.

Katanya, wanita itu diminta berbuat demikian supaya sifu palsu itu boleh membeli kemenyan dan barang keagamaan untuk upacara sembahyang.

Pada 20 Oktober lalu, Yeoh diminta supaya memasukkan lagi sejumlah wang namun dia kehabisan semua wang simpanannya dan kemudian cuba meminjam dari anak perempuannya yang kemudian mendapati ibunya telah ditipu lalu membuat laporan polis pada 27 Oktober lalu.
Chong berkata, dari 2007 hingga tahun ini, sebanyak 19 kes seumpama itu dilaporkan dengan kerugian mencecah RM930,000 membabitkan mangsa dari golongan suri rumah dan ahli perniagaan.

"Saya ingin sekali lagi mengingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan sindiket seperti ini dan jika terdapat sebarang perkara yang diragui, hubungi polis segera," katanya. - BERNAMA

Sunday, November 21, 2010

'Pegawai JKM' kebas wang wanita tua

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/11/22
Dakwa untuk daftar program e-Kasih

BETONG: Seorang wanita berusia 60 tahun hilang semua wang simpanan dan barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas diperdaya pasangan yang mendakwa sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melakukan proses pendaftaran program e-Kasih, kira-kira tiga bulan lalu. Lebih malang, warga emas yang berasal dari sebuah rumah panjang berdekatan, hanya menyedari dia ditipu beberapa hari lalu, selepas mendapati wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank tidak dilakukan JKM, sebelum laporan mengenainya dibuat. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata mangsa dikunjungi dua individu berpakaian kemas berusia sekitar 30-an yang memintanya menyerahkan buku bank dan barang kemas sekiranya mahu menerima bantuan di bawah program e-Kasih.

Katanya, percaya dengan janji oleh individu berkenaan, mangsa menyerahkan semua barang berharga sebelum dibawa mengeluarkan semua wang simpanannya di bank, dengan individu berkenaan berjanji akan membawanya menghadiri temu duga JKM.

“Bagi meyakinkan mangsa, dua ‘pegawai’ terbabit menjelaskan adalah sukar baginya menerima bantuan sekiranya JKM mengetahui dia mempunyai wang simpanan serta barang kemas yang banyak.

“Tanpa berfikir panjang atau berbincang dengan ahli keluarga, mangsa menyerahkan semua barang kemas serta wang simpanannya untuk disimpan ‘sementara’ oleh suspek yang memaklumkan akan menyerahkan kembali barangan berkenaan selepas permohonan mangsa berjaya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Bukhori berkata, selepas menunggu temu duga yang dijanjikan hampir tiga bulan, mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada keluarganya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Betong, Jumaat lalu.

“Setakat ini, kita sudah menerima 10 laporan kes membabitkan modus operandi yang sama dengan mangsa kebanyakannya adalah penduduk di kawasan pedalaman dan berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Mana-mana penduduk yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau pernah menjadi mangsa kepada kumpulan ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Betong di talian 083-472551 bagi membantu siasatan.

APMM rampas gula, minyak masak diseludup guna feri

2010/11/22
TAWAU: Cubaan penumpang feri menyeludup keluar beberapa jenis barangan kawalan dari bandar ini ke Nunukan, Indonesia berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Sejahtera ke atas dua feri, petang kelmarin.

Dalam pemeriksaan rutin anggota APMM yang menggunakan kapal ronda maritim KM PINTAR ke atas feri berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, pegawai dan anggota APMM menemui 540 kilogram (kg) gula pasir, 190 kg minyak masak dan 13 tong gas. Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Komander (M) Amran Daud, berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua feri itu mendapati barangan berkenaan disembunyikan di tempat yang terlindung dalam feri berkenaan bagi mengaburi mata pegawai penguat kuasa. "Semua barangan kawalan itu dirampas. Tiada penumpang mengaku pemilik barangan berkenaan. Kedua-dua feri itu didapati melanggar Akta Kastam 1967 kerana ada penumpang yang cuba menyeludup keluar barangan kawalan itu," katanya di sini semalam.

Amran berkata, rampasan gula pasir itu adalah kes ke-20 tahun ini, menjadikan keseluruhan gula pasir dirampas setakat ini berjumlah 5,173 kg.

"Kes rampasan minyak masak adalah yang ke-13 tahun ini menjadikan keseluruhan minyak masak yang dirampas berjumlah 5,786 kg manakala rampasan tong gas adalah yang pertama tahun ini," katanya.

Friday, November 19, 2010

2 wanita Zimbabwe antara 6 ditahan cuba seludup syabu

2010/11/19
SHAH ALAM: Dua wanita Zimbabwe antara enam warga asing yang ditahan dalam beberapa cubaan menyeludup 11.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM2.8 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang secara berasingan, antara 16 November dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata kira-kira 10.30 pagi semalam, polis menahan seorang wanita berumur 36 tahun yang baru tiba di KLIA dari Doha. Beliau berkata pemeriksaan ke atas beg yang dibawa wanita itu membawa kepada penemuan satu bungkusan berisi dadah disyaki Syabu, seberat kira-kira 3,250 gram. "Turut dirampas daripada wanita terbabit ialah wang tunai USD992, dan siasatan mendapati wanita itu dijangka pulang ke negara asalnya pada 25 November ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi wanita berusia 28 tahun ditahan kira-kira 4.20 petang hari yang sama selepas menemui tiga silinder penapis minyak jengkaut berisi tiga silinder kecil mengandungi dadah disyaki syabu seberat 3,850 gram, di dalam begnya.

Nordin berkata polis turut menahan seorang lelaki warga Iran berusia 24 tahun kira-kira 11 pagi pada 16 Nov selepas menemui tiga bungkusan mengandungi span plastik berisi Syabu seberat 1,015 gram, dalam beg sandangnya.

"Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai US$812. Siasatan awal mendapati suspek pertama kali masuk ke negara ini melalui penerbangan dari Bahrain, dan dia dijangka pulang ke negara asal semalam," katanya.
Beliau berkata pada hari sama, seorang lagi lelaki warga Iran berusia 24 tahun ditahan selepas mendapati beg komputer riba yang dibawanya telah diubahsuai dengan bahagian tepi dipotong serta dimasukkan span berisi dadah jenis Syabu seberat kira-kira 1,100 gram.

Katanya, wang tunai sebanyak USD764 turut dirampas daripada lelaki itu dan polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua warga Iran tersebut adalah dari sindiket yang sama.

Dalam kes lain, Nordin berkata seorang lelaki warga Nigeria yang tiba dari Dubai, telah ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah jenis Syabu seberat 1,500 gram di dalam komponen eskalator berbentuk roda.

"Siasatan awal juga mendapati suspek mendakwa dia berniaga di Nigeria dan telah diupah sebanyak USD4,000 untuk membawa masuk dadah ke Malaysia. Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai USD130," katanya.

Nordin berkata keenam-enam suspek kini ditahan reman sehingga 24 dan 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak kami mendapati sindiket menyeludup dadah masuk ke negara ini kini berubah taktik, iaitu antaranya, mereka membawa masuk dadah sedikit demi sedikit dalam jumlah yang kecil, bagi mengelakkan dapat dikesan di mesin pengimbas.

"Semua dadah ini berjaya melepasi mesin pengimbas, kerana melalui skrin, hanya nampak gelap sahaja. Selepas kita buat pemeriksaan secara manual, barulah kita menemui semua dadah itu," katanya. - BERNAMA

Thursday, November 18, 2010

Kastam rampas rokok seludup RM19.2j

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 18 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan berjaya mematahkan satu sindiket menyimpan dan mengedar 144,680 rokok putih serta keretek bernilai RM19.223 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di Bukit Beruntung, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Saadon Mohd. Dros berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM telah menyerbu sebuah kilang membuat batu bata di Jalan Rasa - Bukit Beruntung, dekat sini kira-kira pukul 2 petang dan menemui ratusan ribu karton rokok disimpan di dalam kilang berkenaan.

Beliau berkata, ketika serbuan, tiada individu berada di kawasan kilang membuat batu bata itu dan pemeriksaan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh merakam gambar kira-kira tiga kilometer dari kilang.

Jelas beliau, pihaknya percaya suspek telah melarikan diri apabila menyedari didatangi pihak berkuasa berdasarkan CCTV.

"Hasil pemeriksaan di kilang terbabit, kita menemui 144,680 karton rokok pelbagai jenama seperti Zon King International, Premier International, rokok keretek jenama Djarum Super, Black dan L.A Light yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Kita turut merampas sebuah lori jenis Hino yang menyimpan 11,680 katon rokok dan dipercayai kenderaan yang digunakan untuk menghantar stok rokok-rokok tersebut," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Saadon, pihaknya percaya sindiket itu sengaja menjalankan aktiviti membuat batu bata bagi mengelak dikesan orang awam dan agensi penguatkuasa.

Katanya, kilang terbabit juga dipercayai dijadikan untuk penyimpanan dan pengedaran rokok-rokok tidak sah kepada pemborong di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri berhampiran.

"Setakat ini, kita telah berjaya memperolehi nama pemilik tanah kilang terbabit dan siasatan mengenai kes itu masih lagi dijalankan," katanya.

Saadon memberitahu, kes ini disiasat mengikut Skesyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan menyimpan barang-barang belum lulus kastam atau barang-barang larangan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan diminta menyalurkan maklumat ke talian bebas tol bahagian penguatkuasaan 1-800-88-8855

Audit pengurusan kewangan PKNS

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my
2010/11/19
Proses perlu disegerakan bagi memastikan perbelanjaan ikut prosedur, peraturan

KUALA LUMPUR: Audit penuh perlu dilakukan terhadap pengurusan kewangan, termasuk segala perbelanjaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memastikan dana agensi itu tidak disalahgunakan. Anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang mencadangkannya berkata, proses audit juga bagi memastikan setiap perbelanjaan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan, selain dibelanja untuk tujuan sepatutnya. “Ia perlu dilakukan segera sebelum isu ini menjadi lebih meruncing. Ini juga berikutan orang ramai perlu diberikan penjelasan berhubung dakwaan penajaan mewah bagi majlis perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, baru-baru ini yang dikatakan disalurkan PKNS melalui sebuah anak syarikatnya.

“Jika dakwaan penajaan itu ada kebenarannya, kita mahu tahu rasional penajaan itu dibuat, termasuk dalam bentuk apa. Orang ramai ada hak untuk mengetahui fakta sebenarnya,” katanya.

Berita Harian sebelum ini mendedahkan kehadiran ramai ‘orang luar’ termasuk perunding yang tidak memahami selok belok pentadbiran badan berkanun dan agensi kerajaan dipercayai antara punca PKNS mengalami pelbagai masalah dalaman, terutama membabitkan pengurusan kewangan.

Difahamkan, isu itu bermula selepas PKNS mengambil sekumpulan ‘orang luar’, secara kontrak termasuk perunding dari sektor korporat bagi menggantikan pengurusan kanan agensi berkenaan sebelum ini.
Phang berkata, jika laporan audit menunjukkan wujud penyelewengan atau salah guna kuasa dalam perbelanjaan PKNS, tindakan segera harus diambil, termasuk menukar serta merta pengurusannya, termasuk Ahli Lembaga Pengarah agensi terbabit.

“Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa juga yang akan berlaku selepas ini atas kapasitinya sebagai Pengerusi PKNS.

“Beliau bukan sekadar perlu diberitahu, malah mengambil tahu apa yang berlaku dalam setiap agensi atau anak syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikannya,” katanya.

PKNS sebelum ini didakwa membelanjakan RM520,000 bagi menaja majlis perkahwinan Dr Sheikh Muszaphar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Oktober lalu yang disalurkan melalui sebuah anak syarikatnya.

Ini didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang turut mempertikaikan rasional penajaan itu.

Beliau turut mempertikaikan bayaran sewa pejabat sementara perbadanan itu sebanyak RM267,932 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM9.6 juta bagi kontrak sewaan tiga tahun, selain isu perbezaan gaji dan kemudahan pegawai serta kakitangan asal agensi terbabit dengan perunding luar yang dilantik.

40 syarikat tampil bantu siasatan

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusann9@utusan.com.my

SEREMBAN 18 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri mengesahkan hampir 40 syarikat termasuk individu persendirian telah tampil bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang kutipan RM660,000 yang didakwa dikutip untuk menjayakan Majlis Mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Menurut jurucakap suruhanjaya itu, kesemua mereka merupakan pihak yang menghulurkan sumbangan bagi tujuan menjayakan majlis berkenaan.

''Kerjasama orang ramai ini amat diperlukan bagi membantu pihak kami melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam individu ditahan oleh SPRM kerana dituduh meminta dan menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat bagi menganjurkan satu majlis jabatan itu.

Mereka yang ditahan ialah tiga kakitangan JPJ berusia antara 45 hingga 53 tahun, manakala tiga lagi individu yang bertindak sebagai orang suruhan dan pemungut sumbangan berusia antara 45 hingga 55 tahun.

Wang kutipan itu dikatakan lesap daripada akaun Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan atas nama Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan, yang kini cuma berbaki RM4,000 sahaja.

Jurucakap itu berkata, SPRM melalui pasukan khas yang ditubuhkan kini sedang mengumpulkan pelbagai maklumat berhubung penyelewengan wang kutipan itu.

''Saya meminta lebih ramai individu, syarikat atau mana-mana pejabat yang pernah menyumbang untuk majlis itu supaya tampil melaporkannya kepada SPRM," ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap berkenaan turut memberitahu, tempoh penahanan reman terhadap enam individu terbabit yang sepatutnya tamat hari ini, terpaksa dilanjutkan bagi membantu pihaknya melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

''Perintah penyambungan reman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan perkembangan tersebut.

Empat suspek kes jual bayi dibebas

2010/11/19
KUALA LUMPUR: Empat suspek, termasuk seorang wanita dipercayai pembekal bayi kepada sebuah hospital swasta di sini yang ditahan pada 9 November lalu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Sumber polis berkata, kesemua mereka dibebaskan selepas ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan bayi oleh hospital di Jalan Ipoh itu. Tiga lagi suspek yang turut bebas itu ialah dua lelaki dipercayai pemandu teksi dan penjual roti canai dan seorang lagi wanita dipercayai ibu kepada bayi bernilai RM21,000. Mereka ditahan pada 9 November di sekitar ibu negara, manakala wanita berusia 40-an yang dipercayai pembekal bayi itu ditahan di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Selain keempat-empat suspek itu, turut ditahan seorang doktor bergelar Datuk bersama isteri dan anak perempuannya serta tiga kakitangan hospital terbabit pada 1 November lalu, namun dibebaskan sembilan hari kemudian dengan jaminan polis.

Menurut sumber itu lagi, semua mereka berkemungkinan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan jika diperlukan.

Katanya, siasatan polis masih diteruskan bagi mengesan 12 bayi yang diragui statusnya yang dipercayai sudah dijual serta mengesan wanita yang pernah berurusan atau bersalin di hospital terbabit.

Pelabur tertipu RM100,000 dijanjikan harta Sukarno

2010/11/19


MANGSA penipuan sindiket dikatakan mahu mencairkan harta Sukarno menunjukkan laporan polis.SEREMBAN: Sekumpulan pelabur kerugian kira-kira RM100,000 apabila terpedaya dengan sindiket yang menjanjikan pulangan lumayan untuk 'mencairkan' harta yang dikatakan milik bekas Presiden Indonesia, Sukarno.

Mereka yang tinggal di Nilai dekat sini dan Muar, menyerahkan wang secara tunai atau dimasukkan dalam akaun bank beberapa orang kanan seorang lelaki yang dikatakan pewaris Sukarno. Pewaris berkenaan dikatakan anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika kecil dan kini berusia 50-an, dalam proses mendapatkan semula harta Sukarno di luar negara yang sebahagian kecil dalam simpanan Bank Negara, kesemuanya didakwa bernilai kira-kira RM10 bilion. Bagaimanapun, pelabur atau dikenali sebagai jemaah diminta membantu pewaris berkenaan membayar Bank Negara dan beberapa pihak lain sebelum harta itu boleh ‘dicairkan’.

Seorang mangsa penipuan sindiket terbabit enggan dikenali berkata, dia memasukkan RM2,500 dalam akaun orang kanan pewaris berkenaan.

“Saya bersama tiga orang lain, mengetahui usaha mencairkan harta Sukarno dan dijanjikan mendapat pulangan lima kali ganda serta bonus dalam tempoh seminggu dalam satu pertemuan dengan seorang lelaki di Nilai, 13 Oktober lalu,” katanya di sini, semalam.

Katanya, lelaki berkenaan juga menunjukkan surat yang didakwanya surat asal perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat mengenai pewaris Sukarno itu.
Beliau berkata, lelaki berkenaan juga menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan milik pewaris berkenaan pada 12 Oktober lalu.

Katanya, lelaki berkenaan yang tinggal di Muar, Johor adalah saudara rakan tempat kerjanya menyebabkan beliau percaya untuk melabur dalam skim itu tetapi sehingga kini, tiada khabar berita mengenai pelaburan itu menyebabkan beliau membuat laporan polis, 4 November lalu.

Jurucakap polis ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket terbabit ditahan di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, Selasa lalu dan merampas sebuah komputer riba serta menemui slip pemindahan wang bank

Tuesday, November 16, 2010

Pemilik, pengurus kilang dipenjara 3 hari rasuah pegawai imigresen

2010/11/16
SHAH ALAM: Seorang pemilik dan pengurus kilang papan dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai Imigresen, pada April lalu.

Suapan itu sebagai dorongan supaya tindakan tidak dikenakan terhadap pekerja kilang itu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Pemilik kilang itu, Tan San Kek, 27, dan pengurus kilangnya, Lim Thian Ho, 48, juga boleh dipenjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut. Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah bersama-sama memberi suapan kepada Ishak Suip yang bertugas di bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya.

Perbuatan itu dilakukan dalam kenderaan Toyota Hilux, nombor pendaftaran WQW 107, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Hulu Langat dekat sini, antara 4.30 petang dan 5 petang, 28 April lalu.

Tan dan Lim didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum menurut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, satu operasi bersepadu dijalankan di kilang milik Tan dan semasa pemeriksaan dijalankan, penguatkuasa dari Jabatan Imigresen telah menahan enam pekerja kilang tersebut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Lim kemudian memaklumkan bahawa pekerja terbabit tidak memiliki pasport dan meminta supaya tindakan tidak diambil terhadap mereka.

Lim seterusnya membawa Ishak ke dalam sebuah kereta di mana Tan turut berada di dalamnya dan mereka memandu ke kawasan R&R tersebut serta memberi sekeping sampul surat mengandungi wang tunai.

Peguam Lee Hong Yap yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan kedua-dua anak guamnya adalah pesalah pertama dan mereka telah menyesal atas perbuatan mereka yang telah menjatuhkan imej dan nama baik syarikat.

Beliau berkata, pengakuan bersalah Tan dan Lim menunjukkan kedua-dua telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka pada masa akan datang.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Hung Heng Hong yang mengendalikan pendakwaan pula berkata kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan mereka sepatutnya tahu kesan buruk akibat daripada perbuatan mereka itu. - BERNAMA

Monday, November 15, 2010

Pelajar didakwa tipu RM3.9 juta

Oleh Ifwan Tun Tuah

2010/11/16
Mengaku tak bersalah sembilan pertuduhan termasuk kutip wang secara haram

SEREMBAN: Seorang pelajar tahun akhir Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana didakwa terbabit dalam penipuan dan kutipan wang secara haram bernilai RM3.9 juta, dua tahun lalu.

Pelajar jurusan pembangunan keusahawanan di UNITEN Pahang, Nur Ruzliana Ruzlam, 21, yang bertindak sebagai Bendahari Koperasi Aristokrat Malaysia Berhad, didakwa atas sembilan pertuduhan mengikut Akta Koperasi 1993 dan memohon dibicarakan. Berikutan itu, Hakim Amran Jantan, menetapkan tarikh sebutan semula kes berkenaan pada 19 Januari depan dan mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 sementara menunggu tarikh berkenaan. Mengikut pertuduhan pertama, Nur Ruzliana didakwa membuka akaun semasa atas nama koperasi itu sebelum didaftarkan secara sah, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengambil deposit yang dinamakan ‘Pinjaman Persahabatan’ daripada orang awam.

Bagi pertuduhan ketiga, dia sebagai ahli lembaga koperasi itu didakwa secara tidak berhemat mengambil deposit atas nama pinjaman sama daripada anggota koperasi dan orang awam dengan menawarkan dan membayar balik pinjaman pada kadar 10 hingga 12 peratus sebulan walaupun koperasi belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Dalam pertuduhan keempat, Nur Ruzliana didakwa mengambil wang koperasi berjumlah RM1,970 sebagai bayaran elaun tanpa kelulusan mesyuarat agung, manakala mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa mengambil deposit daripada bukan anggota koperasi tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM2,512,500 sebagai pelaburan dalam Syarikat Pantas Klasik Sdn Bhd (SPKSB), iaitu bukan pihak yang dibenarkan mengikut Akta Koperasi 1993.
Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh tanpa mendapat kelulusan, mengeluarkan wang koperasi berjumlah RM252,000 sebagai pinjaman untuk membeli kenderaan kepada Ahmad Fauzi Daud, menyebabkan koperasi kerugian berikutan pinjaman itu gagal dibayar balik.

Mengikut pertuduhan kelapan, dia didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM2.513 juta kepada SPKSB sebagai pelaburan tanpa membuat kajian terlebih dulu menyebabkan koperasi kerugian sebanyak RM1.171 juta kerana SPKSB hingga kini gagal membayar balik wang pokok pelaburan berkenaan.

Bagi pertuduhan terakhir, Nur Ruzliana didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM33,000 kepada Ahmad Fauzi dan RM22,180 kepada Roslina Daud sebagai bayaran gaji, sedangkan mereka tidak layak menerima bayaran itu.

Selain pertuduhan pertama yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Komersil Senawang di sini, pada Jun 2008, semua pertuduhan lain dilakukan di sekitar Era Square di sini pada 2008 dan tahun lalu.

Kerajaan pantau jurunikah dakwa berdampingan Wali Songo

2010/11/16
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan seorang jurunikah palsu yang mendakwa sentiasa berdampingan secara ghaib dengan Wali Songo dan membawa lukisan wali itu ketika ke rumah setiap pengantin perempuan yang akan dinikahkannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pernikahan yang dilakukan lelaki terbabit adalah karut dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. “Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melakukan pemantauan rapi bagi memastikan jurunikah palsu terbabit dapat ditahan bagi membanteras kegiatannya yang boleh mencemarkan kesucian imej Islam,” katanya. Bercakap kepada Berita Harian ketika dihubungi di Makkah semalam, beliau berkata bahawa pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memantau dengan rapi segala bentuk ajaran sesat dan pernikahan menggunakan khidmat jurunikah palsu di negara ini.

“Pernikahan itu jelas karut dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, dan ia perlu dibanteras sebelum mencemarkan imej Islam secara keseluruhannya.
“Ia sangat memalukan dan kita akan mengambil tindakan tegas mengikut saluran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai kegiatan seorang jurunikah palsu yang dikenali sebagai Ustaz Hashim, menggunakan lukisan wajah lelaki berserban yang didakwa salah seorang Wali Songo (wali sembilan) sebagai wali kepada pengantin perempuan.
Ustaz Hashim dikatakan sentiasa berdamping secara ghaib dengan wali berkenaan dan akan membawa lukisan itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar ketika dia sedang menikahkan pasangan pengantin dalam serbuan JAWI di Jalan Kubur dekat Pantai Dalam di sini, tiga hari lalu.

Mengulas lanjut Jamil Khir berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam khususnya yang berselindung di sebalik ceramah atau ajaran keagamaan.

“Tidak ada dolak dalik dalam perkara ini. Kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran,” katanya

Sunday, November 14, 2010

Pengetua didakwa palsukan 9 invois RM7,640

RAUB 12 Nov. 2010 – Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Chok Weng dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

5 individu terus kutip derma guna nama JPJ

2010/11/15
SEREMBAN: Lima individu, termasuk seorang kerani dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sudah diarahkan menghentikan serta-merta kutipan derma bagi majlis makan malam amal yang tidak wujud, beberapa bulan lalu, tetapi mereka masih meneruskan kegiatan berkenaan.

Arahan itu dibuat menerusi dua surat oleh Pengarah JPJ negeri, Mohd Kamal Saad pada Ogos dan September lalu selepas menyedari berlaku kegiatan yang mencurigakan dalam kutipan derma terbabit. Sumber berkata, Mohd Kamal mengeluarkan surat arahan menghentikan serta-merta kutipan derma itu sebanyak dua kali, namun kelima-lima individu terbabit, termasuk tiga mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meneruskan kutipan sehingga sumbangan mencecah ratusan ribu ringgit. “Selepas mendapati kutipan derma itu diteruskan, Pengarah JPJ Negeri Sembilan membuat aduan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada 10 November lalu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mohd Kamal yang dihubungi enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menjejaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, akhbar melaporkan SPRM menahan lima individu, termasuk dua pegawai JPJ negeri kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mengutip derma untuk Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan yang sebenarnya tidak wujud.

Kelima-lima mereka membuat kutipan atas nama Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan dan mengutip RM660,000 daripada individu dan syarikat yang sering berurusan dengan JPJ dari Jun sehingga Oktober lalu

Bookie kutip RM1.4 juta sehari ditahan

2010/11/15
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki dipercayai menjalankan kegiatan bookie judi haram bola sepak membabitkan pertaruhan kira-kira RM1.4 juta sehari di sebuah rumah di Lengkok Kristal, Jalan Penang Free, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, suspek masing-masing berusia 24 dan 41 tahun ditahan ketika sedang asyik menjalankan urusan penerimaan pertaruhan daripada pelanggan. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam serta intipan selama seminggu. Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek menerima dan menjalankan pertaruhan berkenaan daripada rumah itu bagi semua perlawanan bola sepak yang berlangsung di seluruh dunia.

“Suspek menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan mampu menerima pertaruhan sehingga RM1.4 juta sehari. Rumah itu milik bapa saudara seorang suspek terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam

Thursday, November 11, 2010

Polis siasat kaitan hospital swasta jual bayi

11/11/2010 6:25pm


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Polis tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi oleh sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini baru-baru ini, ada kaitan dengan sindiket penjualan bayi di Sarawak pada Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata hasil siasatan yang dijalankan, terdapat kaitan antara kedua-dua sindiket tersebut terutama hasil daripada penemuan bukti yang membabitkan dokumen kelahiran bayi di hospital swasta tersebut.

"Kita sedang menyiasat secara terperinci kaitan kedua-dua sindiket tersebut. Siasatan awal kita mendapati dokumen tersebut dikeluarkan oleh sindiket jual bayi yang pernah dibongkar di Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini siasatan kes penjualan bayi membabitkan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman yang dibantu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur awal bulan ini.

Dalam operasi dua hari itu, enam suspek ditahan sebaik sahaja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000 dan polis berjaya menyelamatkan dua bayi daripada menjadi mangsa sindiket tersebut. - Bernama

Bekas kerani MITI dipenjara 3 tahun, palsukan lesen import

11/11/2010 4:27pm


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap bekas kerani Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang didakwa memalsukan lesen import selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Ghazali Cha yang membuat keputusan itu berkata, Hakim Mahkamah Sesyen yang sebelum ini membebaskan Armila Ahmad, 32, telah terkhilaf.

Ghazali memerintahkan Armila dipenjara selama tiga tahun bagi pertuduhan pertama iaitu memalsukan sembilan keping lesen import kenderaan yang digunakan bagi tujuan menipu di tempat kerjanya di Jalan Duta di sini.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat yang merupakan pertuduhan menipu tiga pegawai yang berlainan untuk mengeluarkan sembilan lesen import kenderaan, Ghazali memerintahkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan.

Kesemua hukuman berjalan serentak bermula hari ini. - Bernama

Wednesday, November 10, 2010

Bomoh penipu dipenjara 5 tahun dengan tiga sebatan

11/11/2010 12:15pm


Kuala Lumpur 11 Nov. - Seorang bomoh dipenjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang ahli perniagaan berhubung upacara membuang sial, dua tahun lalu.

Hukuman itu diperintahkan oleh Hakim S.M Komathy Suppiah terhadap Lee Meng Wah, 47, yang mengaku memperdaya wanita bernama Wong Ngai Yin, 35, sehingga mangsa menyerahkan RM44,500 kepadanya. - Utusan

Kolej Antarabangsa Fazley disiasat

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi memulakan siasatan terhadap Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) yang dimiliki penyanyi Ahmad Fadzli Yaakob atau Fazley.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, siasatan itu bertujuan memastikan kolej kendalian penyanyi tersebut mematuhi garis panduan yang membolehkan ia beroperasi.

"Kita sedang siasat perkara ini untuk mengetahui sama ada kolej itu menyediakan pensyarah yang mencukupi serta berkelayakan sebelum mereka menawarkan sebarang kursus.

"Sekiranya kolej itu melanggar syarat ditetapkan, kita akan ambil tindakan tegas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran Sepanjang Hayat anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Princess Naradhiwas (PNU) dan Universiti Teknologi Rajamangala Srivijaya (RUTS) dari Thailand.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan penggantungan hubungan kerjasama antara Universiti of Wales di United Kingdom dengan FIC milik penyanyi itu berikutan laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang mendakwa kelayakan akademik penyanyi tersebut dalam bidang pentadbiran perniagaan dikatakan palsu.

Universiti itu menandatangani satu perjanjian dengan kolej itu pada 2007 dan menyatakan mereka tidak mengiktiraf sebarang kemasukan tambahan untuk kursus Sarjana Muda dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan sehingga kelayakan Fazley selaku pengetua kolej itu disiasat sepenuhnya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya tidak campur tangan berhubung masalah dihadapi antara kedua-dua pihak berhubung dakwaan kelayakan akademik palsu yang dimiliki penyanyi itu.

"Ini kerana kelayakan akademik bukanlah syarat utama yang ditetapkan oleh seseorang untuk membuka kolej swasta di negara ini sebaliknya ia boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

"Bagaimanapun, kriteria utama sebelum sesebuah kolej beroperasi, ia mesti menyediakan pensyarah berkelayakan dan mencukupi di samping prasarana yang baik," katanya.

Dakwaan ijazah palsu: Fazley letak jawatan

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Nov. - Penyanyi popular, Fazley Yaakob (gambar), 32, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu diambil selepas dinasihatkan oleh ahli lembaga pengarah dan peguam untuk berbuat demikian.

"Saya bersetuju meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif selepas dinasihatkan untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, saya tidak boleh mengulas lanjut tentang sebarang perkembangan kerana semuanya masih dalam siasatan.

"Hanya selepas siasatan dijalankan dan pihak University of Wales mencapai satu keputusan, barulah saya akan mengumumkan statusnya kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan universiti yang terletak di United Kingdom itu telah menggantung hubungannya dengan FIC selepas meragui kelayakan akademik penyanyi tersebut.

BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Program itu turut menuduh Fazley memiliki kelulusan itu daripada sebuah universiti palsu, European Business School iaitu sebuah cawangan Universiti Antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada 2008.

FIC juga merupakan salah sebuah daripada tiga buah institusi pendidikan yang menjalinkan kerjasama dengan universiti tersebut.

Ketika ditanya tentang masa depan graduan dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di FIC, Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, memberitahu, semuanya masih berjalan dengan lancar.

Katanya, cuma pengambilan pelajar baru kolej yang mula beroperasi sejak tahun 2006 itu yang dihentikan seketika seperti dinyatakan oleh Naib Canselor University of Wales, Marc Clement.

"Tiada apa yang perlu diragui tentang segala kelayakan yang dimiliki FIC kerana semua sijil telah disahkan dan diperakui oleh University of Wales.

"Menerusi kenyataan universiti berkenaan juga, mereka memang tidak menyangkal FIC layak untuk menawar dan melaksanakan program pembelajaran setelah melalui proses tapisan yang ketat.

"Malah, mereka sendiri sudah menyatakan bahawa pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak akan terjejas dengan proses arbitrasi dan rujukan semula ini," katanya

Tuesday, November 9, 2010

Tiada kes pemalsuan kad kredit bercip di Malaysia

2010/11/10
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa sejak penggunaan kad kredit bercip dilaksanakan pada 2006, tiada kes penipuan pemalsuan kad kredit dilaporkan di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Donald Lim, berkata kes penipuan yang masih dilaporkan adalah membabitkan kad kredit pemegang dipalsukan dan digunakan di luar negara. Katanya, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga 18 Oktober lalu sebanyak 93 tangkapan dibuat daripada 375 kes yang dilaporkan dengan jumlah kerugian akibat pemalsuan kad kredit ialah RM2.3 juta. "Kad kredit bercip ini lebih selamat berbanding kad kredit berjalur magnetik yang digunakan sebelum ini," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fazdli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu mengenai langkah mengatasi aktiviti pemalsuan kad kredit yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, Malaysia melaksanakan penggunaan kad kredit bercip berasaskan piawaian Europay-MasterCard-Visa (EMV) secara sepenuhnya mulai 2006 bagi membanteras pemalsuan kad kredit.

Katanya, oleh kerana Malaysia hanya menerima kad kredit bercip, kerugian akibat kes penipuan itu tidak ditanggung oleh pemegang kad kredit tetapi oleh bank pemeroleh di negara berkenaan.

Selain itu, beliau berkata usaha lain turut diambil termasuklah menjalin kerjasama erat dengan industri melalui penyertaan dalam Pasukan Petugas Pengurusan Risiko yang diaggotai oleh pengeluar dan pemeroleh kad kredit dan kad caj serta PDRM.
"Bank Negara Malaysia sentiasa memantau kadar penipuan kad kredit di Malaysia dan terus mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan penggunaannya adalah selamat," katanya. -

Monday, November 8, 2010

Kastam KLIA rampas barang seludup bernilai hampir RM4 juta

2010/11/08
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya merampas barang seludup bernilai RM3,960,489 juta daripada 67 kes rampasan yang membabitkan pelbagai kesalahan.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Azizah Idris, berkata rampasan terbesar dicatatkan bulan lalu dengan jumlah rampasan sebanyak RM1,172,396 juta yang membabitkan nilai cukai berjumlah M3,371,543.19 juta. “Antara barang yang dirampas bagi bulan itu termasuklah rokok, minuman keras dan tiga kereta Mercedes Benz, BMW dan Nissan Fairlady,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam di sini, hari ini. Beliau berkata, empat warga tempatan berumur antara 20 dan 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyeludupan kereta mewah tersebut dan mereka sudah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan diselesaikan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus Kastam dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Walaupun selalunya barang-barang ini ditahan ketika masih dalam perjalanan tetapi kali ini barang-barang tersebut dikesan berada di rumah kediaman yang dijadikan stor manakala kereta mewah disimpan di premis kediaman di sekitar Lembah Klang dan pihak Kastam bertindak atas maklumat risikan dan maklumat orang awam," katanya.

Azizah berkata, orang ramai diseru untuk terus memberi kerjasama kepada Kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA di talian 03-8787 4909 atau menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.
Sementara itu, beliau berkata, Kastam melalui Cawangan Pemeriksaan Penumpang berjaya mengesan 25 kes penyeludupan dadah seperti syabu oleh penumpang yang cuba masuk ke negara ini dengan meletakkan dadah tersebut di dalam bagasi atau disorok dalam badan termasuk di tali pinggang.

Beliau berkata, kebanyakan mereka adalah rakyat India, Nigeria, Iran, Pakistan dan Uzbekistan dengan purata syabu yang dirampas sebanyak satu hingga dua kilogram bagi setiap kes.

"Kes-kes ini kita serahkan kepada Bahagian Narkotik Kastam atau Narkotik Polis di mana berkenaan, dan selepas itu ia akan diurus oleh pihak yang berkenaan," katanya.

Sunday, November 7, 2010

Sindiket sasar 500,000 pekerja wanita Indonesia

2010/11/08
KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi negara ini dipercayai menyasarkan kira-kira 500,000 wanita warga Indonesia yang bekerja di sini dan mengandung anak luar nikah sebagai sumber untuk mengaut keuntungan.

Kegiatan yang disyaki berlaku sejak kira-kira lima tahun lalu itu dikesan apabila ada di kalangan wanita warga Indonesia terbabit yang bersekedudukan dengan warga Pakistan atau Bangladesh mengadu didatangi orang tengah yang menawarkan sejumlah wang untuk membantu menyelesaikan masalah mereka selepas mengandung hasil hubungan tidak sah itu. Taktik ejen sindiket mengesan pasangan bermasalah (mengandung anak luar nikah) serta kediaman mereka, orang tengah bertemu pasangan berkenaan untuk menawarkan khidmat bantuan dengan membiayai perbelanjaan harian, ubatan, sewa rumah dan menjelaskan bil bersalin sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap, berkata hasil pemantauannya mendapati, kira-kira dua peratus daripada setiap 100 wanita warga Indonesia terjebak apabila bersekedudukan dengan warga asing.

“Jumlah itu menunjukkan sekurang-kurangnya 1,000 wanita Indonesia di Lembah Klang yang mengandung anak luar nikah menjadi sumber untuk membekalkan bayi kepada sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya, beberapa wanita berlainan bangsa dan berusia dalam lingkungan 50-an disyaki menjadi perantara untuk sindiket ini dan hanya mereka yang akan berhubung dengan ibu yang mengandung itu.

“Wanita Indonesia yang usia kandungannya antara empat atau lima bulan itu akan ditawarkan pelbagai habuan untuk memastikan bayi yang dikandung sihat sehingga melahirkannya.
“Pasangan yang kebanyakannya menetap di rumah pangsa dan rumah kedai di sekitar Lembah Klang ini selalunya akan merelakan bayi mereka dijual, selalunya kepada rakyat tempatan, sebelum ibu diberikan sagu hati kira-kira RM5,000,” katanya.

Khairuddin berkata, sekurang-kurangnya jika bayi berkenaan dibeli rakyat negara ini, ia akan memiliki kerakyatan, berbanding dibesarkan tanpa kerakyatan kerana ibu dan bapanya dari negara berbeza.

“Kegiatan seumpama ini sememangnya salah kerana menjual orang seperti mana Akta Anti Pemerdagangan Orang.

“Lagi pun undang-undang negara ini tidak benarkan sesama warga asing berkahwin dan jika ia berlaku boleh menyebabkan permit kerja mereka terbatal serta merta,” katanya.

Ditanya penyelesaian masalah warga asing yang mengandung itu, beliau berkata, wanita Indonesia yang mengandung sebaiknya pulang ke kampung bersama pasangan dan melahirkan bayi di sana.

“Tindakan ini sekurang-kurangnya dapat menjamin kewarganegaraan bayi berkenaan,” katanya