Thursday, November 25, 2010

Persatuan nelayan gesa rampas harta penyeleweng

KUALA LUMPUR 25 Nov. 2010 - Persatuan nelayan negeri kecewa dengan penyelewengan diesel subsidi yang turut melibatkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan mahu supaya harta mereka yang terlibat dirampas supaya perbuatan itu tidak berulang.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Md. Zainol Ajamin berkata, denda sahaja tidak akan berjaya membanteras perbuatan itu sebaliknya tindakan merampas harta seperti bot atau lori tangki merupakan peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

"Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada pesalah kerana subsidi tersebut adalah bantuan daripada kerajaan dan merupakan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan 19 individu di seluruh negara kerana disyaki terbabit melakukan penyelewengan diesel subsidi dalam Ops Nano yang dijalankan sejak Jun lalu.

Tambah Md. Zainol, pengawasan dalam penyaluran diesel subsidi dari depot minyak ke stesen PNK adalah perlu bagi memastikan tiada ruang untuk ia diseleweng.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah), Maslan Selen pula memberitahu, penyelewengan diesel sering berlaku di jeti kerana tiada pengawasan pihak berkuasa.

"Penyelewengan sepatutnya tidak berlaku kerana diesel subsidi merupakan insentif kerajaan untuk membantu meringankan beban nelayan.

"Pegawai penguat kuasa atau petugas e-Landing yang berada di bawah pengawasan PNK sepatutnya berada di jeti untuk mengawasi agihan diesel subsidi kepada nelayan," jelasnya.

Menurutnya, kaedah itu dapat memantau agihan diesel subsidi supaya tidak berlaku ketirisan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd. Jaman Haris berkata, sistem agihan bahan api berkenaan adalah baik, cuma kuota diesel subsidi tidak mencukupi untuk nelayan di negeri itu semasa musim tangkapan meningkat.

No comments:

Post a Comment