Tuesday, November 2, 2010

Pemilik hospital, isteri, anak antara 6 direman

2010/11/03
KUALA LUMPUR: Enam suspek yang ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan penjualan bayi di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, kelmarin ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata semua mereka termasuk pemilik hospital berkenaan yang juga doktor bergelar Datuk, isterinya dan anak perempuan mereka serta tiga jururawat hospital itu dibawa ke Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini untuk mendapatkan perintah reman kira-kira jam 11 pagi semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk disoal siasat. Semalam, Berita Harian mendedahkan mengenai kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000. Serbuan dijalankan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman dibantu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira jam 4.15 petang.

Chin Wah berkata, suspek akan direman sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Katanya, dalam operasi semalam, selain bayi perempuan berusia seminggu yang diselamatkan itu, polis turut menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa antipemerdagangan orang bagi menangani kegiatan penjualan bayi di negara ini.
Beliau berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak peka dan bertindak sebaik mendapat maklumat mengenainya.

“Walaupun kes ini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes penjualan bayi,” katanya di sini, semalam.

Kedua-dua bayi terbabit kini diserahkan kepada pusat perlindungan kanak-kanak yang dikendalikan (JKM) selepas mendapat perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment