Thursday, November 18, 2010

Empat suspek kes jual bayi dibebas

2010/11/19
KUALA LUMPUR: Empat suspek, termasuk seorang wanita dipercayai pembekal bayi kepada sebuah hospital swasta di sini yang ditahan pada 9 November lalu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Sumber polis berkata, kesemua mereka dibebaskan selepas ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan bayi oleh hospital di Jalan Ipoh itu. Tiga lagi suspek yang turut bebas itu ialah dua lelaki dipercayai pemandu teksi dan penjual roti canai dan seorang lagi wanita dipercayai ibu kepada bayi bernilai RM21,000. Mereka ditahan pada 9 November di sekitar ibu negara, manakala wanita berusia 40-an yang dipercayai pembekal bayi itu ditahan di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Selain keempat-empat suspek itu, turut ditahan seorang doktor bergelar Datuk bersama isteri dan anak perempuannya serta tiga kakitangan hospital terbabit pada 1 November lalu, namun dibebaskan sembilan hari kemudian dengan jaminan polis.

Menurut sumber itu lagi, semua mereka berkemungkinan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan jika diperlukan.

Katanya, siasatan polis masih diteruskan bagi mengesan 12 bayi yang diragui statusnya yang dipercayai sudah dijual serta mengesan wanita yang pernah berurusan atau bersalin di hospital terbabit.

No comments:

Post a Comment