Thursday, November 18, 2010

40 syarikat tampil bantu siasatan

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusann9@utusan.com.my

SEREMBAN 18 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri mengesahkan hampir 40 syarikat termasuk individu persendirian telah tampil bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang kutipan RM660,000 yang didakwa dikutip untuk menjayakan Majlis Mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Menurut jurucakap suruhanjaya itu, kesemua mereka merupakan pihak yang menghulurkan sumbangan bagi tujuan menjayakan majlis berkenaan.

''Kerjasama orang ramai ini amat diperlukan bagi membantu pihak kami melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam individu ditahan oleh SPRM kerana dituduh meminta dan menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat bagi menganjurkan satu majlis jabatan itu.

Mereka yang ditahan ialah tiga kakitangan JPJ berusia antara 45 hingga 53 tahun, manakala tiga lagi individu yang bertindak sebagai orang suruhan dan pemungut sumbangan berusia antara 45 hingga 55 tahun.

Wang kutipan itu dikatakan lesap daripada akaun Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan atas nama Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan, yang kini cuma berbaki RM4,000 sahaja.

Jurucakap itu berkata, SPRM melalui pasukan khas yang ditubuhkan kini sedang mengumpulkan pelbagai maklumat berhubung penyelewengan wang kutipan itu.

''Saya meminta lebih ramai individu, syarikat atau mana-mana pejabat yang pernah menyumbang untuk majlis itu supaya tampil melaporkannya kepada SPRM," ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap berkenaan turut memberitahu, tempoh penahanan reman terhadap enam individu terbabit yang sepatutnya tamat hari ini, terpaksa dilanjutkan bagi membantu pihaknya melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

''Perintah penyambungan reman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan perkembangan tersebut.

No comments:

Post a Comment