Wednesday, November 10, 2010

Dakwaan ijazah palsu: Fazley letak jawatan

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Nov. - Penyanyi popular, Fazley Yaakob (gambar), 32, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu diambil selepas dinasihatkan oleh ahli lembaga pengarah dan peguam untuk berbuat demikian.

"Saya bersetuju meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif selepas dinasihatkan untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, saya tidak boleh mengulas lanjut tentang sebarang perkembangan kerana semuanya masih dalam siasatan.

"Hanya selepas siasatan dijalankan dan pihak University of Wales mencapai satu keputusan, barulah saya akan mengumumkan statusnya kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan universiti yang terletak di United Kingdom itu telah menggantung hubungannya dengan FIC selepas meragui kelayakan akademik penyanyi tersebut.

BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Program itu turut menuduh Fazley memiliki kelulusan itu daripada sebuah universiti palsu, European Business School iaitu sebuah cawangan Universiti Antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada 2008.

FIC juga merupakan salah sebuah daripada tiga buah institusi pendidikan yang menjalinkan kerjasama dengan universiti tersebut.

Ketika ditanya tentang masa depan graduan dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di FIC, Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, memberitahu, semuanya masih berjalan dengan lancar.

Katanya, cuma pengambilan pelajar baru kolej yang mula beroperasi sejak tahun 2006 itu yang dihentikan seketika seperti dinyatakan oleh Naib Canselor University of Wales, Marc Clement.

"Tiada apa yang perlu diragui tentang segala kelayakan yang dimiliki FIC kerana semua sijil telah disahkan dan diperakui oleh University of Wales.

"Menerusi kenyataan universiti berkenaan juga, mereka memang tidak menyangkal FIC layak untuk menawar dan melaksanakan program pembelajaran setelah melalui proses tapisan yang ketat.

"Malah, mereka sendiri sudah menyatakan bahawa pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak akan terjejas dengan proses arbitrasi dan rujukan semula ini," katanya

No comments:

Post a Comment