Tuesday, November 16, 2010

Pemilik, pengurus kilang dipenjara 3 hari rasuah pegawai imigresen

2010/11/16
SHAH ALAM: Seorang pemilik dan pengurus kilang papan dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai Imigresen, pada April lalu.

Suapan itu sebagai dorongan supaya tindakan tidak dikenakan terhadap pekerja kilang itu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Pemilik kilang itu, Tan San Kek, 27, dan pengurus kilangnya, Lim Thian Ho, 48, juga boleh dipenjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut. Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah bersama-sama memberi suapan kepada Ishak Suip yang bertugas di bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya.

Perbuatan itu dilakukan dalam kenderaan Toyota Hilux, nombor pendaftaran WQW 107, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Hulu Langat dekat sini, antara 4.30 petang dan 5 petang, 28 April lalu.

Tan dan Lim didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum menurut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, satu operasi bersepadu dijalankan di kilang milik Tan dan semasa pemeriksaan dijalankan, penguatkuasa dari Jabatan Imigresen telah menahan enam pekerja kilang tersebut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Lim kemudian memaklumkan bahawa pekerja terbabit tidak memiliki pasport dan meminta supaya tindakan tidak diambil terhadap mereka.

Lim seterusnya membawa Ishak ke dalam sebuah kereta di mana Tan turut berada di dalamnya dan mereka memandu ke kawasan R&R tersebut serta memberi sekeping sampul surat mengandungi wang tunai.

Peguam Lee Hong Yap yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan kedua-dua anak guamnya adalah pesalah pertama dan mereka telah menyesal atas perbuatan mereka yang telah menjatuhkan imej dan nama baik syarikat.

Beliau berkata, pengakuan bersalah Tan dan Lim menunjukkan kedua-dua telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka pada masa akan datang.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Hung Heng Hong yang mengendalikan pendakwaan pula berkata kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan mereka sepatutnya tahu kesan buruk akibat daripada perbuatan mereka itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment