Monday, November 29, 2010

2 lagi didakwa rasuah kes diesel

ALOR SETAR 29 Nov. 2010 - Dua penyelia gudang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Loi Kok Lun, 29, dan Koh Kok Shiun 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan masing-masing.

Kok Lun didakwa memberi rasuah RM4,000 kepada Nazrul Hisham Hamudi Ismail sebagai dorongan supaya penjawat awam itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana kesalahan menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Mas Petroleum Sdn. Bhd, Jalan PKNK 4, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu antara pukul 6.50 dan 7 petang, 22 Oktober lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd. Sabri Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula pada 18 Januari depan.

Di mahkamah berasingan, Kok Shiun didakwa di bawah seksyen sama akta tersebut iaitu memberi rasuah RM3,000 kepada pembantu penguat kuasa KPDNKK, Mohd. Iswandy Ahamad agar tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadapnya kerana menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Honest Acceptance (M) Sdn. Bhd., Lot 112 dan 113, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini antara pukul 6.20 dan 7.05 petang, 22 Oktober lalu.

Hakim Chan Jit Li membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam T. Jegadeeson manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim.

Pada minggu lalu, pemandu lori, Sofli Ahmad dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa KPDNKK berhubung kes penyelewengan diesel bersubsidi.

Pada hari yang sama, pemilik depot simpanan minyak, Zulkifli Ibrahim dari Alor Setar pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan yang sama.

No comments:

Post a Comment