Thursday, November 11, 2010

Polis siasat kaitan hospital swasta jual bayi

11/11/2010 6:25pm


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Polis tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi oleh sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini baru-baru ini, ada kaitan dengan sindiket penjualan bayi di Sarawak pada Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata hasil siasatan yang dijalankan, terdapat kaitan antara kedua-dua sindiket tersebut terutama hasil daripada penemuan bukti yang membabitkan dokumen kelahiran bayi di hospital swasta tersebut.

"Kita sedang menyiasat secara terperinci kaitan kedua-dua sindiket tersebut. Siasatan awal kita mendapati dokumen tersebut dikeluarkan oleh sindiket jual bayi yang pernah dibongkar di Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini siasatan kes penjualan bayi membabitkan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman yang dibantu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur awal bulan ini.

Dalam operasi dua hari itu, enam suspek ditahan sebaik sahaja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000 dan polis berjaya menyelamatkan dua bayi daripada menjadi mangsa sindiket tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment