Sunday, November 7, 2010

Sindiket sasar 500,000 pekerja wanita Indonesia

2010/11/08
KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi negara ini dipercayai menyasarkan kira-kira 500,000 wanita warga Indonesia yang bekerja di sini dan mengandung anak luar nikah sebagai sumber untuk mengaut keuntungan.

Kegiatan yang disyaki berlaku sejak kira-kira lima tahun lalu itu dikesan apabila ada di kalangan wanita warga Indonesia terbabit yang bersekedudukan dengan warga Pakistan atau Bangladesh mengadu didatangi orang tengah yang menawarkan sejumlah wang untuk membantu menyelesaikan masalah mereka selepas mengandung hasil hubungan tidak sah itu. Taktik ejen sindiket mengesan pasangan bermasalah (mengandung anak luar nikah) serta kediaman mereka, orang tengah bertemu pasangan berkenaan untuk menawarkan khidmat bantuan dengan membiayai perbelanjaan harian, ubatan, sewa rumah dan menjelaskan bil bersalin sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap, berkata hasil pemantauannya mendapati, kira-kira dua peratus daripada setiap 100 wanita warga Indonesia terjebak apabila bersekedudukan dengan warga asing.

“Jumlah itu menunjukkan sekurang-kurangnya 1,000 wanita Indonesia di Lembah Klang yang mengandung anak luar nikah menjadi sumber untuk membekalkan bayi kepada sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya, beberapa wanita berlainan bangsa dan berusia dalam lingkungan 50-an disyaki menjadi perantara untuk sindiket ini dan hanya mereka yang akan berhubung dengan ibu yang mengandung itu.

“Wanita Indonesia yang usia kandungannya antara empat atau lima bulan itu akan ditawarkan pelbagai habuan untuk memastikan bayi yang dikandung sihat sehingga melahirkannya.
“Pasangan yang kebanyakannya menetap di rumah pangsa dan rumah kedai di sekitar Lembah Klang ini selalunya akan merelakan bayi mereka dijual, selalunya kepada rakyat tempatan, sebelum ibu diberikan sagu hati kira-kira RM5,000,” katanya.

Khairuddin berkata, sekurang-kurangnya jika bayi berkenaan dibeli rakyat negara ini, ia akan memiliki kerakyatan, berbanding dibesarkan tanpa kerakyatan kerana ibu dan bapanya dari negara berbeza.

“Kegiatan seumpama ini sememangnya salah kerana menjual orang seperti mana Akta Anti Pemerdagangan Orang.

“Lagi pun undang-undang negara ini tidak benarkan sesama warga asing berkahwin dan jika ia berlaku boleh menyebabkan permit kerja mereka terbatal serta merta,” katanya.

Ditanya penyelesaian masalah warga asing yang mengandung itu, beliau berkata, wanita Indonesia yang mengandung sebaiknya pulang ke kampung bersama pasangan dan melahirkan bayi di sana.

“Tindakan ini sekurang-kurangnya dapat menjamin kewarganegaraan bayi berkenaan,” katanya

No comments:

Post a Comment