Monday, November 29, 2010

4 kapal dagang ditahan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/11/30


ANTARA kapal yang ditahan pasukan APMM kerana disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di Johor Bahru, semalam. APMM kesan pindah minyak, berlabuh tanpa kebenaran

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat kapal serta 70 anak kapal warga asing selepas disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak secara haram serta berlabuh tanpa kebenaran dalam dua siri serbuan di
perairan timur Tanjung Penyusop dan Tanjung Piai, di sini, awal pagi semalam. Dalam Operasi Perkasa Selatan di timur perairan Tanjung Penyusop kira-kira jam 3 pagi itu, sepasukan 28 anggota dan pegawai APMM diketuai Leftenan Mahmad Faizal Ahmad berjaya mengesan dua kapal dagang dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Maritim Zubil Mat Som, berkata pemeriksaan dijalankan ke atas dua kapal terbabit mendapati lebih 500,000 liter minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan dari kapal MT Marina 99 ke MT Li Bai tanpa kebenaran.

“Pemantauan yang dijalankan mendapati dua kapal terbabit berlabuh secara rapat antara satu sama lain menyebabkan kami curiga dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491(1)(k) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan dan penerimaan minyak di laut tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Sementara itu, Zubil berkata, pihaknya sebelum itu menahan dua kapal MT SNS dan MT CSC Amenthyst kerana dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan dua batu nautika timur Tanjung Piai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati dua kapal berkenaan turut gagal membayar dius api serta menghalang laluan keluar masuk ke pelabuhan Tanjung Pelepas. Kes disiasat mengikut Akta Dius Api 1953,” katanya.

Beliau berkata, dalam dua serbuan terbabit seramai 70 anak kapal terdiri daripada warga China, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan Ukraine berusia antara 21 dan 63 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment