Monday, November 15, 2010

Pelajar didakwa tipu RM3.9 juta

Oleh Ifwan Tun Tuah

2010/11/16
Mengaku tak bersalah sembilan pertuduhan termasuk kutip wang secara haram

SEREMBAN: Seorang pelajar tahun akhir Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana didakwa terbabit dalam penipuan dan kutipan wang secara haram bernilai RM3.9 juta, dua tahun lalu.

Pelajar jurusan pembangunan keusahawanan di UNITEN Pahang, Nur Ruzliana Ruzlam, 21, yang bertindak sebagai Bendahari Koperasi Aristokrat Malaysia Berhad, didakwa atas sembilan pertuduhan mengikut Akta Koperasi 1993 dan memohon dibicarakan. Berikutan itu, Hakim Amran Jantan, menetapkan tarikh sebutan semula kes berkenaan pada 19 Januari depan dan mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 sementara menunggu tarikh berkenaan. Mengikut pertuduhan pertama, Nur Ruzliana didakwa membuka akaun semasa atas nama koperasi itu sebelum didaftarkan secara sah, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengambil deposit yang dinamakan ‘Pinjaman Persahabatan’ daripada orang awam.

Bagi pertuduhan ketiga, dia sebagai ahli lembaga koperasi itu didakwa secara tidak berhemat mengambil deposit atas nama pinjaman sama daripada anggota koperasi dan orang awam dengan menawarkan dan membayar balik pinjaman pada kadar 10 hingga 12 peratus sebulan walaupun koperasi belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Dalam pertuduhan keempat, Nur Ruzliana didakwa mengambil wang koperasi berjumlah RM1,970 sebagai bayaran elaun tanpa kelulusan mesyuarat agung, manakala mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa mengambil deposit daripada bukan anggota koperasi tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM2,512,500 sebagai pelaburan dalam Syarikat Pantas Klasik Sdn Bhd (SPKSB), iaitu bukan pihak yang dibenarkan mengikut Akta Koperasi 1993.
Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh tanpa mendapat kelulusan, mengeluarkan wang koperasi berjumlah RM252,000 sebagai pinjaman untuk membeli kenderaan kepada Ahmad Fauzi Daud, menyebabkan koperasi kerugian berikutan pinjaman itu gagal dibayar balik.

Mengikut pertuduhan kelapan, dia didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM2.513 juta kepada SPKSB sebagai pelaburan tanpa membuat kajian terlebih dulu menyebabkan koperasi kerugian sebanyak RM1.171 juta kerana SPKSB hingga kini gagal membayar balik wang pokok pelaburan berkenaan.

Bagi pertuduhan terakhir, Nur Ruzliana didakwa membayar wang koperasi berjumlah RM33,000 kepada Ahmad Fauzi dan RM22,180 kepada Roslina Daud sebagai bayaran gaji, sedangkan mereka tidak layak menerima bayaran itu.

Selain pertuduhan pertama yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Komersil Senawang di sini, pada Jun 2008, semua pertuduhan lain dilakukan di sekitar Era Square di sini pada 2008 dan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment