Wednesday, November 3, 2010

Kes jual bayi: Hospital ada rekod buruk

2010/11/04
« sebelum selepas »

ORANG ramai tetap datang mendapatkan rawatan tanpa menyedari hospital yang menjalankan kegiatan jual bayi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sudah ditutup, semalam.

ANGGOTA polis dari IPD Sentul mencatat nama doktor bertugas di hospital yang terbabit sindiket jual bayi, semalam.
Kementerian Kesihatan sedang pantau, siasat perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Hospital swasta di Jalan Ipoh di sini yang diserbu polis kerana didakwa menjual bayi memang dalam siasatan dan penilaian Kementerian Kesihatan kerana mempunyai rekod perkhidmatan buruk. Sumber memberitahu Berita Harian, hospital itu juga gagal memenuhi syarat mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesen operasinya enam bulan sebelum tamat tempoh. Beliau berkata, pihaknya mungkin tidak akan mempertimbangkan permohonan rayuan pihak hospital berkenaan untuk memperbaharui lesennya.

“Pendedahan kegiatan penjualan bayi di hospital swasta berkenaan mengukuhkan lagi siasatan dan penilaian jawatankuasa rayuan yang dilakukan terhadapnya dan jika prestasi perkhidmatannya menjurus kepada pelbagai aspek menyalahi Akta Hospital Swasta 1971, tindakan setimpal akan dikenakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian mendedahkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu hospital berkenaan dan menahan enam individu termasuk pemilik hospital bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga kakitangan hospital.

Penahanan dibuat selepas urusan menjual bayi perempuan berusia seminggu di hospital itu kepada satu paisteri dengan harga RM21,000.
Dalam kejadian itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan. Kedua-dua bayi itu diletakkan di sebuah pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap hospital kerajaan atau swasta dan doktor yang terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi etika.

“Kementerian Kesihatan memandang serius kes penjualan bayi membabitkan sebuah hospital swasta dan menasihatkan orang ramai berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, ketika ini, pihaknya sedang meneliti kes yang didedahkan baru-baru ini untuk mengesan sebarang tindakan hospital berkenaan yang menyalahi Akta Hospital Swasta.

“Mengikut akta itu, perkhidmatan menggugurkan kandungan juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya lebih prihatin dan peka bagi memastikan tidak terjebak dalam kegiatan memudaratkan mereka, selain menyalurkan maklumat kepada pihak yang berwajib.

No comments:

Post a Comment