Thursday, November 18, 2010

Kastam rampas rokok seludup RM19.2j

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

PETALING JAYA 18 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan berjaya mematahkan satu sindiket menyimpan dan mengedar 144,680 rokok putih serta keretek bernilai RM19.223 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di Bukit Beruntung, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Saadon Mohd. Dros berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM telah menyerbu sebuah kilang membuat batu bata di Jalan Rasa - Bukit Beruntung, dekat sini kira-kira pukul 2 petang dan menemui ratusan ribu karton rokok disimpan di dalam kilang berkenaan.

Beliau berkata, ketika serbuan, tiada individu berada di kawasan kilang membuat batu bata itu dan pemeriksaan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh merakam gambar kira-kira tiga kilometer dari kilang.

Jelas beliau, pihaknya percaya suspek telah melarikan diri apabila menyedari didatangi pihak berkuasa berdasarkan CCTV.

"Hasil pemeriksaan di kilang terbabit, kita menemui 144,680 karton rokok pelbagai jenama seperti Zon King International, Premier International, rokok keretek jenama Djarum Super, Black dan L.A Light yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Kita turut merampas sebuah lori jenis Hino yang menyimpan 11,680 katon rokok dan dipercayai kenderaan yang digunakan untuk menghantar stok rokok-rokok tersebut," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Saadon, pihaknya percaya sindiket itu sengaja menjalankan aktiviti membuat batu bata bagi mengelak dikesan orang awam dan agensi penguatkuasa.

Katanya, kilang terbabit juga dipercayai dijadikan untuk penyimpanan dan pengedaran rokok-rokok tidak sah kepada pemborong di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri berhampiran.

"Setakat ini, kita telah berjaya memperolehi nama pemilik tanah kilang terbabit dan siasatan mengenai kes itu masih lagi dijalankan," katanya.

Saadon memberitahu, kes ini disiasat mengikut Skesyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan menyimpan barang-barang belum lulus kastam atau barang-barang larangan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan diminta menyalurkan maklumat ke talian bebas tol bahagian penguatkuasaan 1-800-88-8855

No comments:

Post a Comment