Monday, November 29, 2010

Johor: Awas pegawai JKM minta serah semula bantuan

Oleh Mohd Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/11/30
BATU PAHAT: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diingatkan supaya berhati-hati terhadap kehadiran kumpulan yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu dan meminta mereka supaya menyerahkan wang bantuan yang diterima.

Pegawai JKM Daerah, R Chitarthany, berkata modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan mendakwa pegawai JKM dan kononnya sebelum ini tersilap memberi mereka wang palsu dan meminta supaya wang itu dipulangkan bagi diganti semula.
“Kumpulan ini yang menyamar sebagai pegawai JKM mensasarkan warga tua, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan JKM dengan pergi ke rumah mereka dan meminta menunjukkan kad bantuan JKM kononnya bagi tujuan pemeriksaan. “Mereka kemudian memperdaya golongan itu dengan mendakwa pegawai JKM sebelum ini tersilap memberi mereka wang palsu dan meminta supaya wang itu dipulangkan bagi proses diganti semula.

“Sehingga kini beberapa kes sudah dikesan berlaku di kawasan Ayer Hitam dan Parit Raja di sini berikutan penerima mengadu wang bantuan mereka yang kononnya diambil masih belum digantikan lagi," katanya ketika ditemui di rumah suami isteri penerima bantuan OKU di Kampung Parit Guntong di sini.

Chitarthany menasihatkan penerima bantuan JKM di daerah ini supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran mereka yang tidak dikenali kerana pegawai JKM yang dihantar ke rumah penerima biasanya adalah pegawai yang sama serta dikenali penerima bantuan.

“Penerima yang sudah ditipu diminta supaya tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dan tangkapan dapat dibuat seterusnya dapat menghapuskan kewujudan kumpulan penipu berkenaan," katanya.
Sementara itu, rombongan JKM yang diketuai Chitarthany turut melawat pasangan suami isteri OKU, Ahmad Masri, 71, dan Senah Agil, 70, di rumah mereka di Kampung Parit Guntong, Mukim Satu Lubok, Semerah, yang sebelum ini didakwa terabai dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas anjung dan bumbung rumah mereka dihempap pokok dalam kejadian ribut, bulan lalu.

Beliau berkata, JKM tidak pernah mengabaikan pasangan berkenaan seperti didakwa segelintir pihak malahan bantuan bencana sebenarnya sedang diproses sebelum diserahkan kepada mereka.

“Bantuan berkenaan sedang diproses dan kita akan menyerahkannya segera apabila semua prosedur selesai. Malah, pegawai kami menghantar sendiri wang bantuan bulanan RM300 yang diperoleh Ahmad terus kepadanya sejak 10 tahun lalu dan kini kami juga sedang memproses bantuan kepada isterinya pula yang bakal menerima bantuan bulanan RM150, berikutan beliau juga disahkan sebagai OKU," katanya.

No comments:

Post a Comment