Tuesday, November 9, 2010

Tiada kes pemalsuan kad kredit bercip di Malaysia

2010/11/10
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa sejak penggunaan kad kredit bercip dilaksanakan pada 2006, tiada kes penipuan pemalsuan kad kredit dilaporkan di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Donald Lim, berkata kes penipuan yang masih dilaporkan adalah membabitkan kad kredit pemegang dipalsukan dan digunakan di luar negara. Katanya, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga 18 Oktober lalu sebanyak 93 tangkapan dibuat daripada 375 kes yang dilaporkan dengan jumlah kerugian akibat pemalsuan kad kredit ialah RM2.3 juta. "Kad kredit bercip ini lebih selamat berbanding kad kredit berjalur magnetik yang digunakan sebelum ini," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fazdli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu mengenai langkah mengatasi aktiviti pemalsuan kad kredit yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, Malaysia melaksanakan penggunaan kad kredit bercip berasaskan piawaian Europay-MasterCard-Visa (EMV) secara sepenuhnya mulai 2006 bagi membanteras pemalsuan kad kredit.

Katanya, oleh kerana Malaysia hanya menerima kad kredit bercip, kerugian akibat kes penipuan itu tidak ditanggung oleh pemegang kad kredit tetapi oleh bank pemeroleh di negara berkenaan.

Selain itu, beliau berkata usaha lain turut diambil termasuklah menjalin kerjasama erat dengan industri melalui penyertaan dalam Pasukan Petugas Pengurusan Risiko yang diaggotai oleh pengeluar dan pemeroleh kad kredit dan kad caj serta PDRM.
"Bank Negara Malaysia sentiasa memantau kadar penipuan kad kredit di Malaysia dan terus mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan penggunaannya adalah selamat," katanya. -

No comments:

Post a Comment