Wednesday, November 3, 2010

Surat rayuan Penolong Amil Kariah subahat nikah pasangan ditolak

SHAH ALAM 3 Nov. 2010 – Representasi atau surat rayuan Penolong Amil Kariah sebuah masjid, Abdul Rahman Adam yang didakwa bersubahat menikahkan satu pasangan tanpa tauliah, telah ditolak oleh Jabatan Pendakwa Syarie Selangor.

Pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Nazri Basrawi memaklumkan demikian semasa kes itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Katanya, representasi agar pertuduhan itu dikaji semula dihantar oleh Abdul Rahman melalui peguam syarie yang mewakilinya, Boestaman Ahmad.

Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk meneruskan pendakwaan dan memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan.

Hakim Syarie Kamarulzaman Ali kemudian menetapkan 23 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes itu.

Abdul Rahman, 46, yang tidak lagi menutup mukanya hadir di mahkamah hari ini tanpa ditemani Boestaman kerana peguam syarie itu dikatakan terkandas di Kedah akibat banjir.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Asbai Rofik, 56, yang tidak diberi kuasa dengan menikahkan pasangan berusia 28 dan 29 tahun di Lot 11A, Desa Subang Perantau, Sungai Buloh dekat sini pada pukul 3.30 petang, 13 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 39 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Berikutan itu, Abdul Rahman mengemukakan representasi dengan alasan pasangan yang terbabit dalam kes itu telah mengada-adakan cerita bahawa bapa pengantin lelaki tidak merestui perkahwinan mereka, manakala bapa pengantin perempuan pula telah meninggal dunia.

Kejadian itu juga dikatakan satu perangkap oleh pasangan yang merupakan ejen menyamar dan perbuatan seumpama itu tidak dibenarkan dalam undang-undang syariah.

Sementara itu, buruh warganegara Indonesia, Asbai yang sepatutnya didakwa atas tuduhan menjadi jurunikah tanpa tauliah masih gagal hadir ke mahkamah walaupun waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya pada 20 Ogos lalu.

Penjaminnya, Ismail Arifin memaklumkan kemungkinan lelaki yang mempunyai status penduduk tetap (PR) itu telah melarikan diri ke Indonesia kerana dia langsung tidak dapat dihubungi.

Berikutan itu, Kamarulzaman memerintahkan agar waran tangkap terhadap Asbai dilanjutkan dan kes itu akan disebut semula pada tarikh yang sama Abdul Rahman dibicara.

Beliau turut mengarahkan Ismail mengemukakan surat tunjuk sebagai penjelasan mengapa beliau gagal memastikan kehadiran Asbai ke mahkamah.

‘‘Penjamin ada tugas berat, kena jadi galang ganti. Jaminan hanya boleh ditarik balik setelah orang yang dijamin hadir secara sukarela ke mahkamah atau kamu bawa dia ke mahkamah.

‘‘Apabila menjamin seseorang, kamu telah mengikrarkan satu akad yang kamu akan menjamin kehadirannya ke mahkamah. Jadi kamu kena cari dia walaupun sehingga ke lubang cacing,’’ kata Kamarulzaman.

Sementara Muhammad Nazri pula memaklumkan beliau akan membuat susulan dengan Jabatan Imigresen bagi mengetahui sama ada Asbai telah pulang ke Indonesia atau masih bersembunyi di negara ini

No comments:

Post a Comment