Thursday, November 25, 2010

Diesel subsidi: Pengurus stesen minyak didakwa

IPOH 25 Nov. 2010 - Seorang lagi individu yang ditahan kerana terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kali ini, ia melibatkan seorang pengurus sebuah stesen minyak di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis, Manjung, di sini.

Ngoh Keh Heng, 41, didakwa atas tiga tuduhan menawar serta memberikan rasuah kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada Pembantu Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Noraz Abdul Aziz supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana menyimpan barang kawalan haram iaitu diesel bersubsidi yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan.

Keh Heng yang ditahan pada Isnin lalu, dituduh melakukan perbuatan tersebut di Stesen Minyak BHP Min Aun Trading di Lot 2116, Batu 12, Segari, Jalan Pantai Remis, Manjung kira-kira pukul 12.40 tengah hari, 5 Ogos lalu.

Di tempat dan hari yang sama, iaitu pada pukul 12.45 tengahari, Keh Heng turut didakwa menawarkan suapan wang tunai RM8,000 iaitu RM2,000 setiap seorang kepada tiga pegawai penguat kuasa KPDNKK dan seorang pegawai SPRM.

Penguat kuasa dari KPDNKK ialah Mohd. Noraz, Mohd. Khairil Akhtar Ahmad dan Noor Hisham Abdul Aziz serta Mohd. Ridzuan Shaari dari SPRM bagi tujuan yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, Keh Heng didakwa memberikan suapan wang tunai RM4,000 iaitu RM500 setiap seorang kepada keempat-empat pegawai tersebut di Coffee House, Hotel Ipoh City, di sini antara pukul 7.30 malam dan 8 malam, 24 September lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Keh Heng pula memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan dia bekerja di stesen minyak itu dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan perlu menanggung anak-anak yang masih kecil.

Hakim Tan Hooi Leng bagaimanapun menetapkan jumlah ikat jamin seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes berkenaan pada 17 Disember ini bagi memberikan peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.

No comments:

Post a Comment