Wednesday, November 3, 2010

Kastam rampas rokok RM13.1j

Oleh RASMI ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my



Roslan Yusof (kiri) bersama pegawainya menunjukkan bungkusan rokok putih dan rokok kretek yang dirampas di Pelabuhan Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PELABUHAN KLANG 3 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri mematahkan cubaan mengedar rokok seludup bernilai RM13.1 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah gudang di Batu 5 1/2 Jalan Keretapi Lama, Jalan Kapar, Klang, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Roslan Yusof berkata, serbuan pukul 9 pagi tersebut mencatatkan kejayaan terbesar pasukan itu pada tahun ini.

Katanya, hasil rampasan terdiri daripada pelbagai jenis rokok putih dan rokok kretek yang disimpan di dalam kotak dan juga guni plastik.

Tambahnya, turut ditahan dua beranak warga tempatan berusia masing-masing 29 dan 61 tahun yang dipercayai menyewa gudang tersebut sejak awal tahun ini, bagi membantu siasatan.

"Sebanyak 85,280 karton rokok putih pelbagai jenama dan 10,800 rokok kretek berjaya dirampas di dalam gudang berkenaan yang dipercayai untuk edaran di dalam negara.

"Pemeriksaan awal mendapati sejumlah besar rokok itu tidak mempunyai tanda dakwat keselamatan dan ada juga dilekatkan tanda dakwat tetapi didapati ia palsu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Roslan menambah, kedua-dua beranak itu ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki dagangan belum lulus kastam.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(d)(iii)(aa) akta yang sama iaitu denda tidak kurang 10 kali ganda duti dan tidak lebih 20 kali ganda duti atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Roslan meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat membabitkan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi pejabat KDRM atau talian bebas tol 1800-88-8855.

No comments:

Post a Comment