Monday, November 22, 2010

Inginkan RM1 juta, suri rumah ditipu RM244,000

2010/11/22
KUALA LUMPUR: Kerana terpedaya dengan janji pendapatan mencecah RM1 juta, seorang suri rumah kerugian RM244,708 selepas ditipu sindiket skim cepat kaya yang menggunakan pembelian nombor ekor.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata wanita dikenali sebagai Yeoh, 57, pada akhir tahun lalu telah menerima sekeping risalah menawarkan perkhidmatan mengubah nasib. "Di dalam risalah itu tertera nama dan nombor telefon suspek yang dipercayai sifu palsu serta kenyataan mereka yang kononnya telah berjaya mendapatkan wang yang banyak dengan pembelian nombor ekor. "Sifu palsu itu berjanji akan memberikan nombor ekor yang akan mengubah nasib pelanggan sehingga keuntungan mencecah lima kali ganda bergantung kepada modal yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Yeoh yang terpedaya dengan risalah itu kemudian menghubungi nombor telefon yang diberi sebelum sifu palsu itu memintanya memasukkan RM244,708 ke dalam lima akaun bank yang berbeza.

Katanya, wanita itu diminta berbuat demikian supaya sifu palsu itu boleh membeli kemenyan dan barang keagamaan untuk upacara sembahyang.

Pada 20 Oktober lalu, Yeoh diminta supaya memasukkan lagi sejumlah wang namun dia kehabisan semua wang simpanannya dan kemudian cuba meminjam dari anak perempuannya yang kemudian mendapati ibunya telah ditipu lalu membuat laporan polis pada 27 Oktober lalu.
Chong berkata, dari 2007 hingga tahun ini, sebanyak 19 kes seumpama itu dilaporkan dengan kerugian mencecah RM930,000 membabitkan mangsa dari golongan suri rumah dan ahli perniagaan.

"Saya ingin sekali lagi mengingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan sindiket seperti ini dan jika terdapat sebarang perkara yang diragui, hubungi polis segera," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment