Tuesday, November 23, 2010

Choo Keong dedah dua lagi nama

KUALA LUMPUR 23 Nov. 2010 – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menghangatkan kembali isu rasuah dan kecurian pasir di Selangor apabila mendedahkan dua lagi nama individu yang didakwa terlibat dalam kes itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dakwanya, dua individu itu ialah Pengurus Pemasaran Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), Wong Swee Leong dan pemilik syarikat Sungai Rambai Angkut Sdn. Bhd., Datuk Tan Chin Huat yang mendapat tender membeli pasir daripada KSSB.

Menurut Choo Keong, Swee Leong merupakan individu yang dilantik oleh Exco Selangor, Ronnie Liu ke jawatan itu di KSSB yang merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor.

“Swee Leong dilantik oleh Ronnie Liu untuk menjalankan pelbagai kegiatan di mana syarikat seperti Sungai Rambai Angkut Sdn. Bhd. milik Chin Huat mendapat kontrak pasir pada harga RM13.50 berbanding harga biasa iaitu RM17.50,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bagaimanapun tidak menjawab persoalan mengenai dua individu yang disebut Choo Keong itu.

Sebaliknya, Vui Keong memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam fail siasatan berhubung kes rasuah dan kecurian pasir melibatkan KSSB.

Jelasnya, salah satu fail itu merupakan siasatan umum mengenai KSSB sementara lima lagi melibatkan beberapa individu yang terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, beliau yakin SPRM berupaya melengkapkan siasatan itu dalam sedikit masa lagi sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Seperti saya maklumkan, dua individu sudah diambil tindakan di mahkamah, tidak payah ulang nama mereka sebab dah diumumkan dalam surat khabar.

“Untuk makluman, apabila siasatan dimulakan oleh SPRM, banyak isu yang perlu dikenal pasti oleh SPRM seperti saksi dan dokumen berkenaan dan ia juga berkait dengan pasaran pasir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Choo Keong juga menyeru Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan segera hasil siasatan kes rasuah melibat bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop iaitu Hasbie Satar.

Menurutnya, banyak pihak kini tertanya-tanya mengenai perkembangan kes itu memandangkan SPRM telah pun menyerahkan siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara beberapa bulan lalu.

“Siasatan sudah lengkap, kes Hasbie Satar mula disiasat sejak lebih setahun lalu, jadi Peguam Negara akan dakwa atau tidak Hasbie Satar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Hasbie ditahan pada 12 Februari lalu tetapi dibebaskan oleh SPRM enam hari kemudian dengan jaminan RM50,000.

No comments:

Post a Comment