Thursday, November 18, 2010

Audit pengurusan kewangan PKNS

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my
2010/11/19
Proses perlu disegerakan bagi memastikan perbelanjaan ikut prosedur, peraturan

KUALA LUMPUR: Audit penuh perlu dilakukan terhadap pengurusan kewangan, termasuk segala perbelanjaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memastikan dana agensi itu tidak disalahgunakan. Anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang mencadangkannya berkata, proses audit juga bagi memastikan setiap perbelanjaan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan, selain dibelanja untuk tujuan sepatutnya. “Ia perlu dilakukan segera sebelum isu ini menjadi lebih meruncing. Ini juga berikutan orang ramai perlu diberikan penjelasan berhubung dakwaan penajaan mewah bagi majlis perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, baru-baru ini yang dikatakan disalurkan PKNS melalui sebuah anak syarikatnya.

“Jika dakwaan penajaan itu ada kebenarannya, kita mahu tahu rasional penajaan itu dibuat, termasuk dalam bentuk apa. Orang ramai ada hak untuk mengetahui fakta sebenarnya,” katanya.

Berita Harian sebelum ini mendedahkan kehadiran ramai ‘orang luar’ termasuk perunding yang tidak memahami selok belok pentadbiran badan berkanun dan agensi kerajaan dipercayai antara punca PKNS mengalami pelbagai masalah dalaman, terutama membabitkan pengurusan kewangan.

Difahamkan, isu itu bermula selepas PKNS mengambil sekumpulan ‘orang luar’, secara kontrak termasuk perunding dari sektor korporat bagi menggantikan pengurusan kanan agensi berkenaan sebelum ini.
Phang berkata, jika laporan audit menunjukkan wujud penyelewengan atau salah guna kuasa dalam perbelanjaan PKNS, tindakan segera harus diambil, termasuk menukar serta merta pengurusannya, termasuk Ahli Lembaga Pengarah agensi terbabit.

“Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa juga yang akan berlaku selepas ini atas kapasitinya sebagai Pengerusi PKNS.

“Beliau bukan sekadar perlu diberitahu, malah mengambil tahu apa yang berlaku dalam setiap agensi atau anak syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikannya,” katanya.

PKNS sebelum ini didakwa membelanjakan RM520,000 bagi menaja majlis perkahwinan Dr Sheikh Muszaphar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Oktober lalu yang disalurkan melalui sebuah anak syarikatnya.

Ini didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang turut mempertikaikan rasional penajaan itu.

Beliau turut mempertikaikan bayaran sewa pejabat sementara perbadanan itu sebanyak RM267,932 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM9.6 juta bagi kontrak sewaan tiga tahun, selain isu perbezaan gaji dan kemudahan pegawai serta kakitangan asal agensi terbabit dengan perunding luar yang dilantik.

No comments:

Post a Comment