Sunday, November 21, 2010

APMM rampas gula, minyak masak diseludup guna feri

2010/11/22
TAWAU: Cubaan penumpang feri menyeludup keluar beberapa jenis barangan kawalan dari bandar ini ke Nunukan, Indonesia berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Sejahtera ke atas dua feri, petang kelmarin.

Dalam pemeriksaan rutin anggota APMM yang menggunakan kapal ronda maritim KM PINTAR ke atas feri berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, pegawai dan anggota APMM menemui 540 kilogram (kg) gula pasir, 190 kg minyak masak dan 13 tong gas. Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Komander (M) Amran Daud, berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua feri itu mendapati barangan berkenaan disembunyikan di tempat yang terlindung dalam feri berkenaan bagi mengaburi mata pegawai penguat kuasa. "Semua barangan kawalan itu dirampas. Tiada penumpang mengaku pemilik barangan berkenaan. Kedua-dua feri itu didapati melanggar Akta Kastam 1967 kerana ada penumpang yang cuba menyeludup keluar barangan kawalan itu," katanya di sini semalam.

Amran berkata, rampasan gula pasir itu adalah kes ke-20 tahun ini, menjadikan keseluruhan gula pasir dirampas setakat ini berjumlah 5,173 kg.

"Kes rampasan minyak masak adalah yang ke-13 tahun ini menjadikan keseluruhan minyak masak yang dirampas berjumlah 5,786 kg manakala rampasan tong gas adalah yang pertama tahun ini," katanya.

No comments:

Post a Comment