Monday, November 15, 2010

Kerajaan pantau jurunikah dakwa berdampingan Wali Songo

2010/11/16
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan seorang jurunikah palsu yang mendakwa sentiasa berdampingan secara ghaib dengan Wali Songo dan membawa lukisan wali itu ketika ke rumah setiap pengantin perempuan yang akan dinikahkannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pernikahan yang dilakukan lelaki terbabit adalah karut dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. “Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melakukan pemantauan rapi bagi memastikan jurunikah palsu terbabit dapat ditahan bagi membanteras kegiatannya yang boleh mencemarkan kesucian imej Islam,” katanya. Bercakap kepada Berita Harian ketika dihubungi di Makkah semalam, beliau berkata bahawa pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memantau dengan rapi segala bentuk ajaran sesat dan pernikahan menggunakan khidmat jurunikah palsu di negara ini.

“Pernikahan itu jelas karut dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, dan ia perlu dibanteras sebelum mencemarkan imej Islam secara keseluruhannya.
“Ia sangat memalukan dan kita akan mengambil tindakan tegas mengikut saluran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai kegiatan seorang jurunikah palsu yang dikenali sebagai Ustaz Hashim, menggunakan lukisan wajah lelaki berserban yang didakwa salah seorang Wali Songo (wali sembilan) sebagai wali kepada pengantin perempuan.
Ustaz Hashim dikatakan sentiasa berdamping secara ghaib dengan wali berkenaan dan akan membawa lukisan itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar ketika dia sedang menikahkan pasangan pengantin dalam serbuan JAWI di Jalan Kubur dekat Pantai Dalam di sini, tiga hari lalu.

Mengulas lanjut Jamil Khir berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam khususnya yang berselindung di sebalik ceramah atau ajaran keagamaan.

“Tidak ada dolak dalik dalam perkara ini. Kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran,” katanya

No comments:

Post a Comment