Wednesday, November 10, 2010

Kolej Antarabangsa Fazley disiasat

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi memulakan siasatan terhadap Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) yang dimiliki penyanyi Ahmad Fadzli Yaakob atau Fazley.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, siasatan itu bertujuan memastikan kolej kendalian penyanyi tersebut mematuhi garis panduan yang membolehkan ia beroperasi.

"Kita sedang siasat perkara ini untuk mengetahui sama ada kolej itu menyediakan pensyarah yang mencukupi serta berkelayakan sebelum mereka menawarkan sebarang kursus.

"Sekiranya kolej itu melanggar syarat ditetapkan, kita akan ambil tindakan tegas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran Sepanjang Hayat anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Princess Naradhiwas (PNU) dan Universiti Teknologi Rajamangala Srivijaya (RUTS) dari Thailand.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan penggantungan hubungan kerjasama antara Universiti of Wales di United Kingdom dengan FIC milik penyanyi itu berikutan laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang mendakwa kelayakan akademik penyanyi tersebut dalam bidang pentadbiran perniagaan dikatakan palsu.

Universiti itu menandatangani satu perjanjian dengan kolej itu pada 2007 dan menyatakan mereka tidak mengiktiraf sebarang kemasukan tambahan untuk kursus Sarjana Muda dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan sehingga kelayakan Fazley selaku pengetua kolej itu disiasat sepenuhnya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya tidak campur tangan berhubung masalah dihadapi antara kedua-dua pihak berhubung dakwaan kelayakan akademik palsu yang dimiliki penyanyi itu.

"Ini kerana kelayakan akademik bukanlah syarat utama yang ditetapkan oleh seseorang untuk membuka kolej swasta di negara ini sebaliknya ia boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

"Bagaimanapun, kriteria utama sebelum sesebuah kolej beroperasi, ia mesti menyediakan pensyarah berkelayakan dan mencukupi di samping prasarana yang baik," katanya.

No comments:

Post a Comment