Monday, November 22, 2010

Ulat tiket Indonesia dicekup

Warga Indonesia ditahan oleh pegawai Imigresen kerana disyaki menjual tiket feri di Jeti Pulau Ketam, Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seorang lelaki warga Indonesia sanggup memperbaharui pas lawatan sementaranya setiap bulan semata-mata hendak memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai ulat feri di Jeti Pulau Ketam, Klang dekat sini.

Meskipun menyedari tindakannya salah di sisi undang-undang, namun lelaki berusia lingkungan 30-an itu langsung tidak takut kerana tertarik dengan gaji lumayan yang diterima hasil pekerjaan haram tersebut.

Apa tidaknya, dia dibayar gaji yang lumayan dan pendapatannya akan bertambah jika mampu menjual tiket itu di luar jeti dengan komisen sebanyak RM5 bagi setiap tiket yang dijual.

Difahamkan, dalam sehari, suspek mampu menjual tiket feri antara 300 hingga 600 keping kepada penumpang yang ingin pergi Dumai dan Tanjung Balai di Indonesia.

Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, kegiatan haram lelaki itu akhirnya terbongkar setelah dia ditangkap dalam serbuan pada pukul 11 pagi ini.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan suspek telah menjalankan intipan sejak dua minggu lalu sebelum berjaya memberkasnya hari ini.

"Selepas yakin suspek memang terlibat bekerja sebagai ulat tiket feri, kita bertindak menahannya di tempat kerjanya iaitu salah satu kaunter menjual tiket feri di Jeti Pulau Ketam pagi ini.

"Suspek yang tergamam dengan kehadiran saya bersama anggota terpaksa menyerah diri dan memberi kerjasama apabila disiasat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Chandran memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM50,000 hasil penjualan tiket feri bagi tempoh dua hari yang lalu.

Hasil siasatan, kata beliau, suspek dikesan sudah tiga tahun bekerja menjadi ulat tiket feri dengan mendapat gaji yang lumayan.

Katanya, lelaki terbabit juga mengaku memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sementara yang perlu diperbaharui setiap bulan.

Chandran memberitahu, pihaknya sedang mengesan pemilik kaunter tiket iaitu seorang rakyat tempatan yang bersubahat mengupah suspek yang kini dipercayai berada di Indonesia.

Katanya, lelaki Indonesia terbabit akan ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

No comments:

Post a Comment