Wednesday, November 3, 2010

Kes jual bayi: Hospital cari pelanggan jual bayi

2010/11/04
Wanita dilema dimarahi doktor, jururawat apabila berkeras mahu bawa balik anak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang mengandung anak luar nikah dan bersalin di hospital swasta di Jalan Ipoh yang dikesan menjalankan kegiatan menjual bayi, mendakwa hidup dalam ketakutan sejak September lalu. Hanya mahu dikenali sebagai Nadia, wanita berkenaan hingga kini masih trauma selepas dipaksa meninggalkan bayinya untuk dijual, selain diugut akan mendedahkan mengenai anak luar nikahnya kepada pihak berkuasa. Beliau yang berusia 22 tahun berkata, ketegasannya untuk menyerahkan bayi lelaki itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat menyebabkan ibu muda itu dan rakan karibnya terus diugut.

“Doktor dan jururawat di hospital berkenaan marah kerana saya berkeras membawa bayi saya pulang sebaik dilahirkan. Selepas mempersoalkan tindakan mereka itu, kami dapati semuanya kerana mereka sudah mendapatkan pelanggan untuk membeli bayi saya walaupun saya tidak pernah membangkitkan hal itu, jauh sekali membenarkan mereka menjualnya.

“Lebih merisaukan saya apabila sekitar kawasan hospital itu dan didalamnya sentiasa ada lelaki yang ditugaskan ‘menjaga’ hospital berkenaan dan sedia bertindak terhadap sesiapa saja jika menimbulkan sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dua hari lalu, Berita Harian mendedahkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu hospital berkenaan dan menahan enam individu, termasuk pemilik hospital bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga kakitangan hospital berkenaan.
Penahanan dibuat selepas urusan menjual seorang bayi perempuan berusia seminggu di hospital itu kepada pasangan suami isteri dengan harga RM21,000.

Dalam kejadian itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan. Kedua-dua bayi yang diselamatkan itu kini diletakkan di sebuah pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Nadia berkata, ketika bersalin di hospital berkenaan, caj awal yang dikenakan adalah RM3,000 bagaimanapun selepas tawar menawar dikurangkan sehingga RM1,500.

“Sebenarnya, alasan mereka mengurangkan caj bersalin kerana mereka fikir saya akan tinggalkan bayi di situ untuk dijual,” katanya.

Beliau juga bertemu dengan beberapa pesakit lain termasuk seorang wanita yang menggugurkan kandungannya dan dikenakan caj sebanyak RM4,000 tetapi tidak mendapat layanan setimpal.

No comments:

Post a Comment