Sunday, November 14, 2010

5 individu terus kutip derma guna nama JPJ

2010/11/15
SEREMBAN: Lima individu, termasuk seorang kerani dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sudah diarahkan menghentikan serta-merta kutipan derma bagi majlis makan malam amal yang tidak wujud, beberapa bulan lalu, tetapi mereka masih meneruskan kegiatan berkenaan.

Arahan itu dibuat menerusi dua surat oleh Pengarah JPJ negeri, Mohd Kamal Saad pada Ogos dan September lalu selepas menyedari berlaku kegiatan yang mencurigakan dalam kutipan derma terbabit. Sumber berkata, Mohd Kamal mengeluarkan surat arahan menghentikan serta-merta kutipan derma itu sebanyak dua kali, namun kelima-lima individu terbabit, termasuk tiga mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meneruskan kutipan sehingga sumbangan mencecah ratusan ribu ringgit. “Selepas mendapati kutipan derma itu diteruskan, Pengarah JPJ Negeri Sembilan membuat aduan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada 10 November lalu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mohd Kamal yang dihubungi enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menjejaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, akhbar melaporkan SPRM menahan lima individu, termasuk dua pegawai JPJ negeri kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mengutip derma untuk Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan yang sebenarnya tidak wujud.

Kelima-lima mereka membuat kutipan atas nama Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan dan mengutip RM660,000 daripada individu dan syarikat yang sering berurusan dengan JPJ dari Jun sehingga Oktober lalu

No comments:

Post a Comment