Wednesday, November 3, 2010

57 kaki judi ditahan polis

KUALA LUMPUR 3 Nov 2010 - Seramai 57 kaki judi ditahan dalam serbuan polis ke atas empat buah premis perjudian berkomputer haram di Jalan Jernai 2, Batu 5, Jalan Gombak di sini malam ini.

Serbuan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Judi (D7) menerusi Ops Dadu Khas pada pukul 8.30 malam itu mendapati, kesemua premis tersebut mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pengunjung.

Lebih mengejutkan, 32 daripadanya Melayu manakala 22 lagi warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR).

Kesemua lelaki yang ditahan itu berusia di antara 23 hingga 56 tahun.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, serbuan yang dilakukan malam ini adalah hasil maklumat penduduk sekitar.

"Polis turut merampas 85 komputer yang diubah suai sebagai mesin judi serta wang tunai sebanyak RM1,160 yang dipercayai hasil kegiatan haram itu.

"Siasatan awal menunjukkan keempat-empat premis ini, walaupun terletak berhampiran antara satu sama lain, dimiliki pemilik berlainan," kata Razali yang mengetuai operasi malam ini.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment