Tuesday, March 23, 2010

Curi air: 2 banglo diserbu

Oleh Shamaruddin Saidin
utusan N9@utusan.com.my



Seorang penguat kuasa Sains membuka paip penyambungan yang menyalahi undang-undang dalam satu operasi di sebuah premis di Mantin, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN 23 Mac 2010 - Gara-gara mencuri air, dua rumah banglo di sebuah kawasan kediaman mewah di Mantin di sini diserbu oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu operasi semalam.

Pengurus Komunikasi & Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz, berkata, serbuan dilakukan hasil siasatan penguatkuasanya tentang premis tersebut sebelum ini.

"Serbuan ke atas kedua-dua premis yang merupakan banglo setingkat dan banglo dua tingkat itu dilakukan bermula pukul 5.00 petang.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan SPAN bersama Unit Penguatkuasaan Sains mendapati, kedua-dua premis tersebut membuat penyambungan haram menggunakan paip Unplastic Poly Vinyl Chloride(UPVC) bersaiz 20 milimeter dan juga paip High Density Poly Ethlyene (HDPE ) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azlan, hasil serbuan itu, pegawai SPAN dan penguat kuasa Sains menyita paip-paip penyambungan tersebut sebagai bahan bukti.

"Berdasarkan siasatan awal di lokasi, pihak SPAN mendapati pemilik kedua-dua banglo berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).

"Denda yang diperuntukkan adalah RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Tegasnya, pihak Sains memandang serius kes curi air seperti ini dan akan terus menjalankan pemantauan agar pihak yang disyaki menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Pengguna juga dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan daripada sebarang pembaziran memandangkan musim kering yang dijangka berterusan di beberapa negeri ketika ini.

"Di samping itu, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 untuk sebarang bantuan atau maklumat lanjut," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment