Wednesday, March 3, 2010

4 ditahan palsukan kad kredit

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my



Muhammad Sabtu Osman menunjukkan kad kredit palsu yang ditemui di sebuah rumah di Taman Esplanad, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 3 Mac 2010 - Sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Esplanad, Bukit Jalil di sini, dari luar mungkin tiada bezanya dengan kediaman lain di kawasan itu.

Namun kebakaran di rumah itu Jumaat lalu, berjaya membongkar kegiatan satu sindiket pengedaran kad kredit antarabangsa palsu bernilai RM12 juta.

Kebakaran berlaku pada pukul 12.30 tengah malam yang melibatkan bahagian dapur rumah tersebut.

Bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat yang memadamkan kebakaran itu terkejut apabila menemui sejumlah besar kad kredit di rumah terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, berikutan itu, pihak bomba telah menghubungi polis dan sepasukan anggota dihantar ke rumah tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui 3,351 keping kad kredit dipercayai palsu dari pelbagai jenis bank di luar negara.

Tambahnya, turut ditemui 144,487 keping cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.

"Berikutan itu, polis menahan empat suspek termasuk dua beradik serta seorang wanita. Mereka berusia dalam 25 hingga 35 tahun.

"Siasatan mendapati had kredit setiap kad adalah antara RM5,000 dan RM10,000 itu. Ia disyaki untuk diedarkan ke pasaran luar negara," katanya.

Difahamkan, kad kredit tersebut untuk pasaran luar negara kerana tidak mengandungi cip. Antara negara terbabit adalah Amerika Syarikat, Jerman, Eropah dan China.

Muhammad Sabtu berkata, sehubungan itu, polis memburu seorang suspek warga Taiwan berusia 35 tahun dipercayai bertanggungjawab mengedarkan kad kredit itu ke luar negara.

"Kita percaya suspek masih berada di negara ini," katanya dan menambah, siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada kad kredit itu dihasilkan di negara ini atau sebaliknya.

Katanya, selain itu, siasatan juga akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat sekiranya rumah tersebut yang disewa sejak empat tahun lalu dijadikan setor menyimpan kad kredit, CD dan DVD.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment