Thursday, March 11, 2010

European Union akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR 11 Mac 2010 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat, Isles Internationale Universite (European Union) Limited kerana menawarkan kursus ijazah yang tidak sah kepada para penuntutnya.

Tindakan itu juga dilakukan bertujuan menjaga kepentingan orang awam daripada terus ditipu oleh syarikat itu yang dahulunya dikenali sebagai Irish International University (IIU).

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan SSM, Muhammad Redzuan Abdullah berkata, syarikat itu menawarkan kursus yang tidak sah pada harga yang tinggi dan mengurniakan ijazah yang tidak diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara (kini dikenali sebagai Agensi Kelayakan Malaysia).

"Kami telah memulakan tindakan penggulungan syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini setelah menerima pelbagai aduan termasuk daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Ia akan dilaksanakan di bawah Akta Syarikat 1965 kerana syarikat itu telah digunakan untuk tujuan yang salah dan mengganggu kepentingan awam," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhammad Redzuan, Kedutaan Republik Ireland juga telah mengesahkan bahawa syarikat itu bukan sebuah universiti dari negara itu dan tidak pernah diiktiraf sebagai universiti sebelum ini.

Menurutnya, syarikat tersebut pernah menghantar permohonan kepada kerajaan untuk mendaftar sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Bagaimanapun, permohonan berkenaan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dan tidak layak didaftarkan sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996.

Sehubungan itu, syarikat yang diperbadankan di Dublin, Ireland itu mendaftar sebagai syarikat asing di Malaysia di bawah Seksyen 332 (1A) Akta Syarikat 1965 pada 14 Januari 2002.

Muhammad Redzuan dalam pada itu menjelaskan, tindakan yang diambil SSM adalah bertepatan dengan seruan yang dibuat oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"UNESCO begitu peka terhadap penyalahgunaan bidang akademik untuk kepentingan tertentu.

"Justeru, pertubuhan itu telah menyediakan garis panduan untuk negara ahlinya supaya menjaga integriti sistem pendidikan tinggi dan memastikan semua badan yang menghulurkan bantuan kewangan kepada para penuntut tidak menyokong penyalahgunaan seperti itu," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment