Tuesday, March 9, 2010

Timur: Macam reban ayam

Oleh Baharom Bakar
Peniaga buah depan Pasar Besar Kedai Payang didakwa abai kebersihan

KUALA TERENGGANU: Khemah peniaga buah-buahan yang berniaga pada sebelah petang hingga awal pagi setiap hari berhampiran pintu masuk Pasar Besar Kedai Payang di sini, dikenal pasti sebagai antara punca utama lokasi beli-belah itu kelihatan seperti reban ayam.

Tindakan peniaga yang menjual buah-buahan sejak lebih tiga tahun lalu tidak menanggalkan khemah usang yang dipasang selepas tamat berniaga membantutkan usaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menceriakan bandar raya terutama kawasan sekitar Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tumpuan utama pelancong tempatan dan luar negara.

Khemah usang dan buruk yang dipasang itu bukan saja menyakitkan mata memandang, malah sebahagian peniaga sanggup memasang khemah dan meja sehingga menyekat laluan pengunjung untuk ke dalam pasar.

Seorang peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah berusia dalam lingkungan 50-an berkata, tiada sebarang tindakan dilakukan penguat kuasa MBKT ke atas peniaga berkenaan menjadi antara punca utama menyebabkan keadaan di pintu masuk pusat beli-belah itu seolah-olah reban ayam.

Katanya, walaupun terbukti peniaga yang menjual buah-buahan itu mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keindahan, agak menghairankan tiada tindakan undang-undang dikenakan penguat kuasa MBKT.

"Jika peniaga dalam pasar tidak menjaga kebersihan dan membiarkan kawasan kotor, tindakan segera dilakukan termasuk disaman, tetapi tindakan yang sama tidak dikenakan ke atas peniaga buah-buahan," katanya yang mendesak agar penguat kuasa MBKT mengenakan tindakan yang sama terhadap peniaga berkenaan.

Seorang peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang enggan dikenali berkata, sepatutnya peniaga berkenaan menanggalkan khemah itu selepas tamat berniaga dan memasangnya semula apabila hendak memulakan perniagaan.

"Mereka sebaliknya meninggalkan khemah buruk mereka di situ hingga mencacatkan pemandangan di kawasan ini dan kita malu dengan pandangan sinis pengunjung terhadap kompleks niaga ini," katanya.

Tinjauan Edisi Timur Berita Harian mendapati khemah usang yang diikat menggunakan tali dan disambung antara satu sama lain tidak ditanggalkan peniaga buah-buahan yang menjalankan perniagaan berhampiran pintu masuk ke Pasar Besar Kedai Payang.

Keadaan khemah itu mencacatkan pemandangan lokasi yang menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah pelbagai barangan termasuk barangan kraf tangan.

Lebih 20 khemah yang usang dan buruk dipasang berhampiran pintu masuk Pasar Kedai Payang dan kebanyakan peniaga memulakan perniagaan mereka bermula jam 6 petang sehingga lewat pagi setiap hari.

Sementara itu, Setiausaha MBKT, Samiun Salleh, berkata semua peniaga di Pasar Besar Kedai Payang termasuk peniaga buah-buahan yang menjalankan perniagaan di bahu jalan berhampiran pintu masuk diberi tempoh tiga bulan menunaikan tanggungjawab menceriakan kawasan dan ruang niaga masing-masing.

Katanya, tindakan tegas termasuk membatalkan lesen niaga akan dikenakan jika peniaga enggan memberi kerjasama termasuk menyertai gotong-royong yang anjuran MBKT dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar Besar Kedai Payang.

"MBKT akan menganjurkan gotong-royong perdana di Pasar Besar Kedai Payang dan jawatankuasa persatuan memberi jaminan memastikan peniaga menyertai program yang turut disertai Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Dagang April depan," katanya.

Sempena program gotong-royong perdana itu, peniaga akan diberi motivasi supaya mereka lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan selain menceriakan kawasan, tambahnya.

No comments:

Post a Comment