Sunday, March 14, 2010

Penyangak besi

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

2010/03/08
MELAKA: Kewujudan 'penyangak besi' di sekitar Melaka Sentral dekat sini, sejak kebelakangan ini semakin menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuk peniaga di situ, berikutan banyak kepingan logam berkenaan yang digunakan sebagai penutup longkang lesap secara tiba-tiba tanpa dikesan.

Sukar memastikan pihak yang dipertanggungjawabkan, tetapi majoriti mengaitkan jenayah itu dilakukan penagih dadah yang sering dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan terutama pada waktu malam.

Mereka dikatakan mencuri kepingan besi itu untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli dadah. Antara kawasan yang menjadi mangsa mereka ialah deretan rumah kedai di Jalan PMS 1, Plaza Melaka Sentral selain beberapa kawasan berhampiran. Pihak terbabit dikatakan menjalankan aktiviti mencuri kepingan besi itu pada waktu malam, tanpa mengendahkan orang ramai yang lalu lalang di situ.

Ada kalanya, mereka juga bertindak pada siang hari dengan memberanikan diri menyamar sebagai pengimpal, kononnya mahu memperbaiki besi yang kononnya rosak itu.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan berkenaan mendapati lebih 20 penutup longkang hilang terutama di kawasan belakang premis berkenaan, manakala beberapa besi cerucuk kecil kelihatan terjulur akibat kesan daripada longkang yang pecah.

Peniaga, Noraini Sulaiman, 50, mendakwa besi penutup longkang itu sudah hampir beberapa bulan hilang dan masih tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Beliau yang sudah setahun berniaga di situ, berkata aduan mengenai permasalahan berkenaan pernah dibuat peniaga di kawasan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini.

"Sejak kepingan besi penutup hilang, longkang di kawasan ini terbuka dan keadaan itu menyebabkan orang ramai yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuang sampah dalam longkang berkenaan.

"Saya juga khuatir keselamatan orang ramai khasnya kanak-kanak yang lalu lalang di sini mungkin berhadapan risiko terjatuh dalam longkang yang tidak ditutup kerana tidak menyedari keadaan itu," katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 24, berkata beliau kesal dengan tindakan pihak yang mengambil kesempatan mencuri kepingan besi penutup longkang itu tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

"Besi penutup longkang ini dijual sebagai besi buruk dan kita percaya kegiatan itu dilakukan pengumpul barang buangan seperti penagih dadah, kutu rayau atau peniaga kitar semula yang sentiasa mencari peluang mencuri pelbagai barangan bernilai untuk dijual semula.

"Masalah besi penutup longkang yang hilang ini boleh diatasi jika besi itu disimen bagi mengelakkan ia dikeluarkan, selain pihak berwajib melakukan pemantauan secara kerap," katanya.

No comments:

Post a Comment